BERITA SEMASA

JAKIM perkasa sistem halal negara: 100 juru audit halal baharu dilantik

PUTRAJAYA- Seramai 100 juru audit halal baharu dilantik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memperkasa sistem halal negara.

Daripada jumlah itu, seramai 76 pegawai telah melapor diri pada 3 Mac lalu dan ditempatkan di JAKIM Ibu Pejabat, JAKIM Cawangan Sabah serta Sarawak, manakala 24 lagi pegawai baharu melapor diri minggu ini, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 100 orang.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pelantikan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi memenuhi sasaran pengambilan 900 juru audit halal seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

“Pelantikan ini adalah langkah penting dalam usaha memperkasakan sistem halal negara dan memastikan kelangsungan pensijilan halal yang diyakini rakyat.

“Proses pengambilan dibuat secara berfasa kerana tidak semua calon menerima tawaran, namun kita komited untuk melengkapkan sasaran 900 juru audit seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan JAKIM di sini hari ini.

Bacaan Ikrar Bebas Rasuah oleh JAKIM. Foto Hafiz / Malaysia Tribune.

Selain itu, warga JAKIM turut memperbaharui Ikrar Bebas Rasuah, menzahirkan komitmen jabatan itu terhadap prinsip integriti dan ketelusan.

Beliau berkata, ikrar itu bukan sekadar keperluan prosedur tetapi lambang komitmen berterusan untuk menjadikan JAKIM sebagai institusi agama yang bersih dan dipercayai rakyat.

Beliau turut menyatakan bahawa JAKIM kini menyasarkan agar permohonan pensijilan halal diselesaikan antara 15 hingga 30 hari, bergantung kepada jenis permohonan.

“Kita menyasarkan agar permohonan pensijilan halal dapat diselesaikan antara 15 hingga 30 hari dan sesetengah permohonan boleh diluluskan seawal tujuh hari menerusi sistem white list.

“Dengan kehadiran juru audit baharu, saya yakin prestasi kita akan terus dipertingkat dan masa pemprosesan akan dapat diringkaskan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa JAKIM akan membentangkan laporan berkala kepada Usurat Jumaat Menteri setiap sepuluh tahun.

“Laporan berkala setiap sepuluh tahun akan dikemukakan bagi menilai keberkesanan pembaharuan dan memastikan dasar halal kekal relevan,” katanya

Satu lagi inisiatif penting yang diumumkan adalah pelancaran Garis Panduan Solat Duduk, yang dirangka khusus bagi membantu golongan warga emas, orang kurang upaya dan mereka yang mengalami kesukaran untuk berdiri semasa solat.

“Panduan ini akan menjadi rujukan utama umat Islam dan menamatkan kekeliruan mengenai sah atau tidaknya solat duduk bagi mereka yang memerlukan,” ujarnya

Mengulas mengenai isu penarikan balik sijil halal baru-baru ini di Melaka, Sirajuddin menegaskan bahawa pemantauan terhadap pemegang sijil halal merupakan tanggungjawab bersama pelbagai pihak.

“Pemantauan pemegang sijil halal adalah tanggungjawab bersama antara JAKIM, jabatan agama negeri dan KPDN.

“Tindakan tegas seperti di Melaka adalah contoh ketegasan yang perlu dilaksanakan terhadap pihak yang melanggar syarat pensijilan halal,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button