BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Denda salahguna logo halal wajar dinaikkan -timbalan mufti

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disarankan mengkaji semula kadar denda terhadap pihak yang menyalahgunakan logo halal.

Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan berkata, langkah itu perlu diteliti bagi memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya memanipulasi penggunaan logo halal yang menjadi panduan penting bagi umat Islam dalam memilih sesuatu produk.

“Langkah menaikkan denda mungkin boleh jadi penyelesaian terbaik, tetapi kita serah kepada KPDN dan Jakim untuk menilai.

“Jika kes salah guna ini makin meningkat, tidak salah untuk kadar denda itu dinaikkan,” katanya pada satu majlis di Cyberjaya, semalam.

Jamali berkata, usaha mengekang penyalahgunaan logo halal memerlukan pendekatan lebih menyeluruh termasuk pengukuhan pemantauan dan penguatkuasaan.

“Syarikat, terutama dalam industri makanan dan minuman (F&B), yang belum memiliki pensijilan halal perlu segera memohon. Bagi yang sudah memilikinya, mereka tidak boleh ambil mudah dengan pensijilan itu.

“Jakim juga mewajibkan syarikat yang memiliki sijil halal untuk menubuhkan jawatankuasa halal, selain memastikan ada eksekutif khas yang bertanggungjawab menjaga aspek kualiti dan pematuhan halal,” katanya.

Isu halal dibangkitkan berikutan kes penjualan produk sandwich ‘Ham & Cheese’ di sebuah kedai serbaneka popular di dalam Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Syarikat berkenaan kemudian mendedahkan bahawa sijil halal produk berkenaan disediakan oleh pembekal walaupun dinafikan oleh Jakim.

Mengikut Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, pihak korporat yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 untuk kesalahan berikutnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button