Dari modal RM750 ke rangkaian restoran makanan segera: AMK Fried Chicken kini bertapak di Shah Alam
SHAH ALAM – AMK Group Sdn. Bhd. melancarkan cawangan kedua AMK Fried Chicken di Shah Alam, sekali gus mengukuhkan kedudukan jenama tersebut dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Pengasas AMK Group, Mohammad Assraf Maidin Koty, 32, berkata, pengenalan jenama AMK Fried Chicken tercetus selepas melihat permintaan tinggi dalam segmen ayam goreng serta trend restoran barat dalam kalangan pelanggan.
“Daripada idea tersebut dan melihat keadaan semasa termasuk boikot, kami keluarkan jenama baharu di bawah AMK Fried Chicken yang menawarkan burger, tortilla, flavour chicken dan kopi. Harga pun dalam lingkungan mampu milik sekitar RM13.90.
“Antara menu AMK Fried Chicken yang menjadi tarikan utama dengan ayam goreng rangup sebagai signatur selain variasi sos seperti sweet chilli, cajun BBQ, mango habanero, cheesy, gochujang dan garlic soy.


“Keunikan itu membezakannya daripada jenama lain, ditambah pula dengan fokus terhadap pengalaman makan yang selesa serta mesra pelanggan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran restoran itu di Shah Alam baru-baru ini.
Sebagai rekod, cawangan pertama AMK Fried Chicken di Sentul, Kuala Lumpur menerima sambutan menggalakkan sejak hari pertama, dipacu resipi ayam goreng rangup dan seleksi sos yang disesuaikan dengan cita rasa rakyat Malaysia.
Dengan dua lagi cawangan bakal dibuka di Bangi dan Kajang tidak lama lagi, AMK Group berada pada momentum terbaik untuk memperluaskan penguasaan dalam industri F&B tempatan.

Mengulas lanjut, Assraf berkata, AMK Fried Chicken menampilkan dua segmen dalam satu restoran, iaitu makanan segera serta pilihan dessert dan kopi, menjadikannya berbeza daripada pesaing.
Mengenai inspirasi perniagaan, Assraf berkata, perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur dengan modal RM100 menjadi titik permulaan sehingga membuka lapan restoran pelbagai konsep.
Beliau berkata, resepi masakan banyak berasaskan air tangan ibunya, Ramlah, yang menjadi lambang kekuatan serta semangat keluarga dalam setiap perniagaan di bawah AMK Group.
Mengenai operasi cawangan Shah Alam, Assraf memaklumkan kedai telah beroperasi seminggu secara ‘soft opening’ dan dijangka lebih mudah dikenali setelah papan tanda dan promosi rasmi dipasang tidak lama lagi.
Beliau turut mengakui cabaran terbesar dalam industri adalah persaingan dan keperluan memperkukuh penjenamaan, namun yakin strategi syarikat mampu mengekalkan momentum
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















