JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar Tingkatan Satu ditemukan tidak sedarkan diri, meninggal dunia

GUA MUSANG – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah menengah di Paloh di sini, sebelum disahkan meninggal dunia akibat pendarahan secara tiba-tiba di kepala serta paru-paru berair, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pukul 8.53 pagi daripada bapa remaja berkenaan yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri di asrama sekolah terbabit.

Mangsa berusia 13 tahun itu kemudian dibawa pihak sekolah ke Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, pegawai perubatan di klinik berkenaan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Susulan itu, pemeriksaan bedah siasat dijalankan pada pukul 3.30 petang di Hospital Gua Musang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian adalah akibat pendarahan spontan di bahagian kepala serta paru-paru berair.

“Pemeriksaan lanjut juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini,” katanya.

Menurutnya, jasad pelajar itu sudah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button