BERITA SEMASA

KPM lantik 300 pembantu warden, keselamatan asrama diperkukuh

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melantik seramai 300 Pembantu Warden Asrama (MyPWA) bagi memperkukuh tahap keselamatan di sekolah berasrama di seluruh negara.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pelantikan melibatkan Personel MySTEP itu telah berkuat kuasa bermula 1 April lalu dengan penempatan dibuat di semua sekolah berasrama.

Beliau menjelaskan, inisiatif MyPWA diperkenalkan sebagai langkah meningkatkan keselamatan selain membantu mengurangkan beban tugas guru.

“Pembantu warden ini berperanan membantu warden khususnya dalam pemantauan waktu malam bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid asrama terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan akan terus diperluaskan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh agenda reformasi keselamatan di institusi pendidikan di bawah kelolaan KPM.

Tambah beliau, langkah tersebut juga selari dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang menggariskan keperluan untuk guru memberi tumpuan kepada aktiviti berkaitan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Inisiatif berkenaan dilihat mampu meningkatkan kecekapan pengurusan asrama selain memastikan persekitaran yang lebih selamat dan kondusif kepada murid,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button