BERITA SEMASA

Tujuh warga Nepal cedera kemalangan libatkan dua bas persiaran, sebuah SUV

KUANTAN – Tujuh warga Nepal cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah bas persiaran dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz di KM15 Jalan turun Genting Highlands-Genting Sempah, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.29 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands tiba di lokasi pada pukul 6.06 petang, lapor BERNAMA.

“Sebuah bas yang membawa 36 penumpang yang terdiri daripada warga Nepal telah terbalik, mengakibatkan tujuh daripada mereka cedera.

“Sebanyak 34 penumpang dari Bangladesh dan Nepal yang menaiki satu lagi bas persiaran pula dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, tiga individu yang berada di dalam Perodua Aruz itu juga selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, semua mangsa berjaya keluar dari kenderaan masing-masing sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi kejadian.

“Pasukan bomba memberikan bantuan awal kepada mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk dihantar ke hospital. Pihak bomba telah melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di lokasi kejadian,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button