Pembantu jurutera wanita maut tercampak, dirempuh kenderaan di PLUS
REMBAU – Seorang pembantu jurutera wanita maut dalam keadaan tragis selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan sebelum tercampak ke atas jalan dan dirempuh sebuah lagi kenderaan di Kilometer 236.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 8.45 malam itu mengorbankan mangsa berusia 26 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Kia Carens yang dipandu seorang pesara tentera berusia 78 tahun berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami kerosakan.
“Bagaimanapun, motosikal jenis Honda RS150R yang ditunggang mangsa dipercayai telah melanggar bahagian bucu kanan belakang kenderaan tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya sebelum dipercayai dirempuh sebuah lagi kenderaan yang identiti pemandu serta nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Azmi berkata, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















