BERITA SEMASA

284 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah

KUALA LUMPUR – Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 284 orang selamat tiba di Madinah menandakan permulaan musim haji 1447H/2026M tahun ini.

Kumpulan yang menaiki penerbangan KT01 itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz pada pukul 8.21 pagi (waktu tempatan) menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi.

Syed Mohamad Bakri (empat dari kiri) bersama para petugas haji bersedia menyambut ketibaan jemaah KT01.

Ketibaan jemaah di Emaar Royal Hotel sekitar pukul 9.45 pagi disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman.

“Mewakili Kerajaan Malaysia dan Tabung Haji, saya ingin merakamkan rasa syukur atas ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia di Madinah.

“Ini adalah hasil perancangan rapi, kerjasama erat dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta komitmen berterusan Tabung Haji dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan jemaah sentiasa menjadi keutamaan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Dalam masa sama, beliau menegaskan petugas Tabung Haji komited memastikan jemaah bukan sahaja selesa dari segi kebajikan, malah dibimbing ke arah mencapai haji yang mabrur.

Para jemaah turut diingatkan supaya menjaga kesihatan, memperbanyakkan ibadah serta mematuhi segala panduan yang ditetapkan sepanjang berada di Tanah Suci.

Sepanjang enam hari di Madinah, jemaah akan mengikuti program ziarah termasuk ke Masjid Nabawi, Makam Rasulullah SAW, Raudhah serta lokasi bersejarah sekitar kota suci itu.

Sementara itu, dua lagi kumpulan jemaah Malaysia dijangka tiba pada hari sama iaitu KT02 seramai 284 orang pada pukul 2.10 petang dan KT03 seramai 357 orang pada pukul 9.10 malam (waktu tempatan).

Secara keseluruhan, operasi haji musim ini dijangka melibatkan seramai 31,600 jemaah Malaysia yang akan dibawa secara berperingkat ke Madinah dan Mekah menerusi 100 penerbangan sewa khas dikendalikan oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button