BERITA SEMASA

Bakal jemaah haji 1447H diingatkan buat persediaan awal – TH

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan bakal jemaah haji musim 1447 Hijrah/2026 Masihi supaya membuat persediaan lebih awal bagi melayakkan diri menerima tawaran menunaikan ibadah haji.

Menurut TH, aspek utama yang perlu diberi perhatian termasuk kemas kini maklumat peribadi, tahap kesihatan, kewangan, keupayaan mengurus diri serta penguasaan ilmu berkaitan fardhu ain dan ibadah haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Mustakim Mohamad berkata, peringatan awal itu dikeluarkan berdasarkan pengalaman sebelum ini apabila sebahagian bakal jemaah gagal menerima tawaran haji disebabkan faktor kesihatan dan kewangan.

“Ibadah haji memerlukan persediaan yang rapi bagi memenuhi syarat kemampuan (istito’ah). Peringatan mesra daripada TH ini diharap dapat membantu bakal jemaah meningkatkan ketersediaan mereka untuk menjawab tawaran dan seterusnya menunaikan ibadah haji dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, bakal jemaah disarankan mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 di Tabung Haji iaitu jumlah bayaran haji yang ditetapkan bagi kumpulan B40 bagi tahun 2025.

Selain itu, katanya, aspek kesihatan juga perlu diberi perhatian dengan melakukan senaman secara berkala dan pemeriksaan kendiri untuk mengawal penyakit sedia ada.

“Bakal jemaah haji musim 1447H/2026M juga dinasihatkan menyemak dan mengemas kini maklumat profil masing-masing supaya TH dapat menghubungi mereka dengan mudah bagi urusan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, semakan giliran menunaikan haji boleh dibuat menerusi platform THiJARI atau di mana-mana cawangan Tabung Haji seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button