BERITA SEMASA

TH lancar Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah bantu bakal jemaah

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah bagi membantu umat Islam di Malaysia membuat persediaan menunaikan ibadah haji secara lebih sistematik, awal dan terancang.

Inisiatif itu diperkenalkan susulan hampir 50 peratus pendeposit yang menerima surat tawaran haji sebelum ini terpaksa menangguhkan hasrat mereka, selain kos menunaikan haji kini mencecah RM33,300 seorang.

TH dalam kenyataan hari ini berkata, keperluan baki simpanan minimum RM15,000 yang diperkenalkan pada 2025 sebagai syarat menerima surat tawaran haji menunjukkan keberkesanan apabila kadar penangguhan berjaya dikurangkan kepada 18 peratus berbanding purata 50 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.

pelan haji
Pelan ini berfokus menggalakkan pendeposit memulakan simpanan lebih awal, konsisten serta membuat persediaan kewangan, fizikal dan rohani.

Menurut TH, pelan berkenaan susulan kempen nasional #menujuistitoah yang dilaksanakan awal tahun ini dengan fokus menggalakkan pendeposit memulakan simpanan lebih awal, konsisten serta membuat persediaan kewangan, fizikal dan rohani.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, inisiatif itu dirangka berdasarkan maklum balas pendeposit yang mahukan garis panduan lebih jelas serta laluan persediaan yang tersusun.

“Kami telah mendengar maklum balas daripada pendeposit di seluruh negara. Ramai yang mahukan garis panduan yang lebih jelas dan laluan persediaan yang lebih tersusun.

“Inisiatif ini adalah untuk membantu umat Islam di Malaysia menterjemahkan niat kepada tindakan. Mereka yang menyimpan secara konsisten dan membuat perancangan awal bersama kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk merealisasikan impian menunaikan haji,” katanya.

Antara ciri utama pelan itu ialah pelaksanaan sistem kelayakan haji yang lebih sistematik dan dinamik bagi menggantikan proses pendaftaran serta pengurusan giliran sedia ada, tanpa menjejaskan prinsip siapa dahulu, didahulukan (First-Come, First-Served).

Di bawah pendekatan baharu itu, pendeposit akan layak secara automatik untuk berada dalam giliran haji sebaik sahaja simpanan mencapai RM15,000 iaitu jumlah minimum bayaran haji semasa bagi kumpulan B40.

Bagi pendeposit yang telah berdaftar, mereka diberikan tempoh lebih dua tahun sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai sasaran simpanan minimum RM15,000.

Bermula 1 Januari 2029, giliran haji akan disusun semula secara sistematik dan automatik berdasarkan tarikh pendaftaran serta pencapaian baki simpanan minimum berkenaan.

TH berkata pendekatan itu bertujuan mewujudkan proses yang lebih mudah, adil dan lancar selain mengiktiraf usaha pendeposit yang membuat persediaan secara konsisten.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah memberi panduan yang lebih jelas kepada pendeposit untuk merancang perjalanan menuju Haji.

“Seruan Istito’ah mengenal pasti mereka yang benar-benar bersedia, sambil menggalakkan yang lain untuk memulakan perancangan lebih awal.

“Matlamat kami adalah untuk membantu lebih ramai umat Islam Malaysia merealisasikan perjalanan seumur hidup ini melalui persediaan yang tersusun dan terancang bersama Tabung Haji sebagai institusi simpanan Islam pilihan,” katanya.

Beliau berkata TH sebelum ini memperkenalkan Kalkulator Simpanan Haji menerusi laman web baharunya bagi membantu individu merancang jumlah simpanan bulanan berdasarkan tempoh dan sasaran masing-masing.

Mulai 19 September 2026, TH turut memperkenalkan Tabung Istito’ah bagi membantu rakyat Malaysia membentuk disiplin simpanan secara lebih sistematik dan berfokus.

Melalui kemudahan Multi Tabung, pendeposit boleh mempunyai dua tabung dalam satu akaun TH iaitu Tabung Am dan Tabung Istito’ah.

Tabung Am kekal sebagai tabung utama bagi urusan simpanan dan pengeluaran seperti sedia ada, manakala Tabung Istito’ah diwujudkan khusus untuk simpanan sukarela yang lebih berdisiplin dan berfokus kepada persediaan menunaikan Haji.

“Melalui pendekatan yang lebih tersusun ini, perjalanan menuju haji menjadi lebih berdisiplin, sistematik dan boleh dicapai. Pendeposit sedia ada juga diberikan tempoh lebih dua tahun sehingga 31 Disember 2028 untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu ini,” katanya.

TH berkata pelaksanaan Seruan Istito’ah turut memperkukuh peranannya sebagai institusi simpanan Islam pilihan dalam membantu umat Islam Malaysia membuat persediaan bagi merealisasikan impian menunaikan rukun Islam kelima.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button