Kumpulan jemaah haji pertama Malaysia tiba awal pagi tadi
SEPANG – Kumpulan pertama jemaah haji dari Malaysia bagi musim 1447H/2026M selamat tiba di tanah air awal pagi tadi, menandakan bermulanya fasa kepulangan lebih 31,000 jemaah selepas menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Penerbangan sulung yang membawa seramai 332 jemaah itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 1.13 pagi itu disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, Pengurusan Kanan Lembaga Tabung Haji (TH) serta ahli keluarga.
Bagi memastikan semua jemaah dapat pulang dengan selamat, sebanyak 100 penerbangan dijadualkan membawa pulang 31,600 jemaah Malaysia secara berperingkat sehingga 1 Julai depan.
Dr. Zulkifli berkata, ketibaan kumpulan pertama itu menandakan bermulanya fasa kedua operasi haji tahun ini selepas selesainya kemuncak ibadah di Mekah.
Menurut beliau, jemaah haji Malaysia telah mempamerkan akhlak dan disiplin yang baik sepanjang berada di Tanah Suci sehingga menjadi contoh kepada jemaah dari negara lain.
“Jemaah haji kita menunjukkan akhlak dan disiplin yang baik serta menjadi imej terbaik negara, sekali gus menjadi teladan kepada jemaah lain di seluruh dunia.
“Semoga semua jemaah selamat pulang ke tanah air dengan memperoleh haji yang mabrur dan kembali dengan semangat baharu,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa syukur atas kelancaran keseluruhan operasi haji musim ini serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakannya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan TH sentiasa memantau keadaan kesihatan jemaah dan setakat ini seramai 17 jemaah Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci.
Sementara itu, TH akan menyertai beberapa siri perbincangan dan penyelarasan sebagai persediaan awal bagi musim haji akan datang susulan Kerajaan Arab Saudi telah memulakan perancangan operasi haji 1448H pada 29 Mei lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








