BERITA SEMASA

Sempat buka lampu, kipas dan baca Quran sebelum meninggal dunia ketika sujud dalam masjid

KUALA LUMPUR – Sebuah video memaparkan seorang jemaah lelaki meninggal dunia ketika sujud di sebuah masjid di Kedah mengundang sebak dan perhatian ramai di media sosial.

Menerusi perkongsian di aplikasi Threads oleh pengguna dikenali sebagai Izxxh, lelaki berkenaan dikatakan sempat membuka lampu dan kipas masjid untuk keselesaan jemaah lain sebelum mengambil wuduk serta membaca al-Quran.

Menurut perkongsian itu, arwah kemudian meninggal dunia ketika sedang bersujud kepada Allah SWT.

“Perginya arwah setelah dibuka segala lampu dan kipas untuk jemaah lain berjemaah, ambil wuduk, baca Quran dan dia pergi dalam keadaan bersujud kepada Maha Pencipta.

“Sesungguhnya pulangnya dia dengan cara yang baik. Insya-Allah, amin,” tulis pengguna tersebut.

Video berkenaan turut dihujani pelbagai komen netizen yang menyifatkan pemergian lelaki itu sebagai husnul khatimah dan kematian yang dicemburui ramai umat Islam.

Sementara itu, seorang pengguna lain dikenali sebagai Shah Iema mendakwa lelaki terbabit merupakan sepupunya yang mesra dipanggil Abang Lie.

Menurutnya, arwah seorang yang baik dan mereka sempat bertemu selepas sekian lama terpisah kerana tinggal berjauhan.

“Raya tahun lepas saya sempat datang ke rumah arwah. Dia terkejut dan gembira sangat sebab kami sudah lama tidak berjumpa.

“Arwah siap ajak datang lagi dan mahu bawa kami sekeluarga jumpa saudara-mara di Kedah. Tapi masa raya puasa baru ini kami dapat berita arwah sudah meninggal dunia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button