Prestasi kerajaan negeri, pengundi muda ‘senjata’ PH pertahan Negeri Sembilan – penganalisis politik
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai peluang untuk mengekalkan pentadbiran Negeri Sembilan sekiranya berjaya memanfaatkan tempoh akhir kempen dengan menonjolkan rekod pencapaian kerajaan negeri serta menggerakkan pengundi muda dan bukan Melayu keluar mengundi.
Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Mahadee Ismail berkata, walaupun kempen kali ini berlangsung dalam suasana mencabar, PH masih mempunyai kelebihan sekiranya mampu memfokuskan naratif kepada prestasi pentadbiran sepanjang mentadbir negeri.
Menurut beliau, hasil pemerhatian di lapangan mendapati sebahagian besar rakyat Negeri Sembilan masih mengutamakan kestabilan politik.

“Berdasarkan pemerhatian saya, orang Negeri Sembilan mahukan kestabilan politik yang berterusan. Mereka tidak mahu pentadbiran kerajaan negeri terus terganggu.
“Mereka mahu kestabilan yang mendapat mandat daripada rakyat selepas berlakunya krisis adat sehingga Dewan Undangan Negeri terpaksa dibubarkan lebih awal,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Beliau berkata, antara strategi paling penting yang perlu digerakkan PH ialah mempamerkan secara menyeluruh pencapaian kerajaan negeri sepanjang pentadbiran Datuk Seri Aminuddin Harun.
Katanya, perkara seperti peningkatan rizab negeri, kenaikan elaun imam masjid, pembangunan sekolah serta pelbagai projek pembangunan perlu diterangkan secara lebih agresif kepada rakyat.
“Prestasi kerajaan sebenarnya ada. Sebab itu PH perlu tonjolkan satu persatu pencapaian tersebut supaya rakyat dapat membuat perbandingan berdasarkan fakta,” katanya.
Mohd Mahadee berkata, PH juga perlu memberi penekanan kepada media sosial, khususnya TikTok kerana platform itu menjadi medium utama membentuk persepsi dalam kalangan pengundi muda.
“Pengundi muda banyak dipengaruhi apa yang mereka lihat di media sosial. Sebab itu PH perlu memperkukuhkan kempen digital bagi memastikan pencapaian kerajaan sampai kepada kumpulan tersebut,” katanya.
Selain itu, beliau berpandangan PH perlu memastikan kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi bukan Melayu berada pada tahap tinggi.
Katanya, pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi bukan Melayu lebih rendah berbanding pengundi Melayu.
“Kalau PH mahu mengekalkan kerajaan negeri, mereka perlu menggerakkan pengundi bukan Islam keluar mengundi secara maksimum di kawasan sasaran.
“Pada masa sama, PH juga perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 10 hingga 20 peratus sokongan pengundi Melayu di kawasan tertentu bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan dengan majoriti mudah,” katanya.
Seramai 889,490 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 1 Ogos ini bagi memilih 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membentuk kerajaan negeri baharu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








