Laporan RCI Tabung Haji mampu buka mata pengundi Melayu Islam – Nor Azman
SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Nor Azman Mohamad berharap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji dapat membuka mata masyarakat Melayu Islam mengenai kepentingan amanah dalam menguruskan aset umat.
Menurutnya, laporan tersebut juga mampu menangkis dakwaan yang dilemparkan terhadap PH berhubung isu Tabung Haji sebelum ini.
Beliau berkata, pendedahan terperinci dalam laporan RCI menunjukkan isu ketirisan yang berlaku perlu dinilai secara rasional oleh masyarakat.
“Pertama, ia mampu menangkis segala tuduhan yang diberikan kepada Pakatan Harapan kononnya memperdagangkan Tabung Haji.
“Kita boleh melihat bagaimana ketirisan yang berlaku dalam Tabung Haji telah didedahkan secara terperinci dalam laporan RCI tersebut,” katanya ketika ditemui selepas program Grand Finale PH di Sikamat malam tadi.
Nor Azman berkata, masyarakat Melayu Islam perlu membaca dan memahami laporan berkenaan dengan teliti sebelum membuat penilaian.
“Kita mengharapkan masyarakat Melayu Islam dapat membuka mata dan membaca laporan ini secara teliti serta menjadikannya sebagai satu pengajaran.
“Perkhianatan terhadap aset Melayu dan kepentingan Melayu sebenarnya bukan berpunca daripada bangsa lain, tetapi boleh berlaku daripada kalangan bangsa kita sendiri yang beragama Islam,” katanya lagi.
Menurutnya, aspek amanah perlu menjadi keutamaan apabila seseorang diberikan kepercayaan untuk menguruskan sesuatu perkara.
“Kita harap laporan RCI ini dapat membuka mata semua pihak bahawa pentingnya soal amanah menjadi keutamaan apabila diberikan kepercayaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Nor Azman berkata beliau yakin laporan tersebut mampu mengubah persepsi sebahagian pengundi yang membuat penilaian secara rasional.
“InsyaAllah, bagi mereka yang mahu berfikir dan bersikap rasional, laporan RCI ini akan mampu mengubah pemikiran mereka untuk menilai siapa calon dan parti yang selayaknya dipilih dalam PRN,” katanya lagi.
Mengulas peluangnya dalam PRN Negeri Sembilan, Nor Azman berkata beliau yakin mampu meraih kemenangan sebagai motivasi untuk terus bekerja keras sepanjang tempoh kempen.
“100 peratus kita yakin menang. Ia sebagai motivasi kepada kita supaya terus bersemangat untuk berkempen dalam tempoh yang masih berbaki,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















