BERITA SEMASA

KPM selesaikan 50 kekosongan jawatan guru besar, pengetua seluruh negara

IPOH – Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyelesaikan pelantikan kira-kira 50 guru besar dan pengetua bagi mengisi kekosongan jawatan di sekolah seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengurusan sekolah termasuk aspek keselamatan dan pentadbiran dapat berjalan lancar.

Menurut beliau, sekolah tidak boleh berfungsi dengan baik tanpa kekuatan kepimpinan pengetua dan guru besar.

“Kita kenal pasti bahawa dalam melaksanakan reformasi sekolah dan juga semua isu tentang keselamatan dan pengurusan sekolah harian ini, sekolah tidak boleh bergerak tanpa ada pengetua ataupun guru besar.

“Sebab itu saya minta Ketua Pengarah dan juga KSU untuk meneliti usaha dan komitmen kita untuk mengatasi dengan segera isu-isu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-55 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pelantikan berkenaan telah diselesaikan bermula hari ini melibatkan semua negeri yang terlibat.

Katanya, guru besar dan pengetua yang dilantik akan segera memulakan tugas pentadbiran di sekolah masing-masing.

“Pada hari ini kita saksikan semua isu kekosongan itu diselesaikan dengan melantik guru besar dan pengetua supaya semua urusan sekolah dapat dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian akan terus memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang kekosongan baharu dapat diisi segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button