BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Dari modal RM20,000 ke jualan RM4 juta, Gula Cakery tempa nama empayar F&B

KUALA LUMPUR – Bermula dengan modal RM20,000 dan hanya beroperasi dari rumah, Gula Cakery muncul sebagai salah satu jenama F&B tempatan paling berjaya apabila mampu mencatatkan jualan mencecah RM4 juta sebulan.

Pengasasnya, Arieni Adriena berkata, resipi kejayaan syarikat bukan sekadar terletak pada keenakan kek dan pencuci mulut yang dihasilkan tetapi pada prinsip konsistensi, keberanian mencuba serta disiplin dalam menguruskan perniagaan.

“Prinsip saya mudah, jangan berhenti belajar. Saya sentiasa mencari ilmu baharu tentang resipi, operasi dan kepimpinan.

“Cara fikir sebegini buat saya berani mengambil peluang, memperbaiki diri dan mengembangkan bisnes,” katanya.

Setiap keuntungan yang diraih sejak awal digunakan semula untuk membuka cawangan baharu selain usaha berterusan mendapatkan modal tambahan dan bimbingan.

Arieni percaya strategi itu menjadi tunjang yang menjadikan Gula Cakery berkembang daripada perniagaan kecil-kecilan kepada empayar jutaan ringgit hari ini.

Beliau menegaskan bahawa cabaran terbesar dalam industri F&B adalah untuk terus kekal relevan.

Arieni turut menitipkan pesan buat anak muda yang ingin berjinak-jinak dalam dunia perniagaan agar tidak takut bermula dengan apa yang ada.

“Jangan tunggu semua sempurna. Saya juga bermula dengan modal kecil dan pengalaman terhad.

“Minat sahaja tidak cukup, perlu ada disiplin dan konsistensi untuk bertahan. Dari situ datang kekuatan sebenar,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Biarpun sudah mencapai kejayaan besar, beliau tetap mengekalkan nilai yang dipegang sejak awal iaitu kejujuran dan kualiti.

“Setiap kek mesti rasa sedap sama seperti hari pertama. Pelanggan mesti rasa dihargai, itu yang membuatkan mereka percaya dan kembali lagi,” tegasnya.

Arieni Adriena (tengah) berhasrat memperluaskan jenama itu ke seluruh negara sebagai pusat sehenti kek, makanan dan pencuci mulut terbaik.

Baru-baru ini, usaha gigih Arieni turut menerima pujian daripada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang menyifatkan Gula Cakery sebagai bukti kuasa impian dan konsistensi.

Melangkah ke hadapan, Arieni berhasrat memperluaskan jenama itu ke seluruh negara sebagai pusat sehenti kek, makanan dan pencuci mulut terbaik.

“Saya mahu Gula Cakery dikenali sebagai jenama tempatan nombor satu. Apabila orang fikir sambutan atau perayaan, biarlah nama Gula Cakery menjadi pilihan utama,” katanya penuh yakin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button