CAN buka ekosistem baharu G2B2C, 140 syarikat pacu kerjasama strategik
KUALA LUMPUR – Sebanyak 140 syarikat dari seluruh negara berhimpun menerusi pelancaran rasmi Connect And Network (CAN) bagi memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan, perniagaan dan pengguna (G2B2C) dalam usaha membina ekosistem ekonomi lebih mampan.
Inisiatif anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) itu diperkenalkan sebagai platform ekosistem G2B2C utama negara yang menghubungkan usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat korporat, agensi kerajaan, persatuan industri, pelabur serta pengguna menerusi kerjasama, padanan perniagaan dan perkongsian strategik.
Pengerusi CAN, Kit Yang Say Feng berkata, CAN diwujudkan bukan sekadar sebagai acara jaringan perniagaan biasa, sebaliknya platform strategik yang menyatukan kerajaan, perniagaan dan pengguna dalam satu ekosistem.
“CAN ditubuhkan dengan misi jelas untuk menjadi platform strategik yang menghubungkan kerajaan, perniagaan dan pengguna dalam satu ekosistem.
“Usahawan hari ini memerlukan lebih daripada jaringan perniagaan; mereka memerlukan akses terus kepada agensi kerajaan, sumber strategik, pakar industri dan rakan kongsi yang dipercayai.
“Melalui CAN, kami berhasrat merapatkan hubungan ini, memperkasa perniagaan dengan pengetahuan dan peluang, serta membina keyakinan pengguna yang lebih kukuh.
“Apabila kerajaan, perniagaan dan pengguna bekerjasama, kita dapat mewujudkan ekonomi lebih kukuh serta berdaya tahan yang memberi manfaat kepada negara secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Penasihat Diraja MTPN, Yang Mulia Tunku Datuk Professor Sr Dr Fauzi; Presiden MTPN, Datuk Dr Kevy KV Yeo dan Presiden World Consumers’ Protection Chamber of Commerce (WCPCC), Dr Moses Wong.
Mengulas lanjut, Kit berkata, penyertaan 140 syarikat pada pelancaran sulung CAN menunjukkan permintaan terhadap sebuah platform dipercayai yang membolehkan sektor perniagaan berhubung secara langsung dengan agensi kerajaan, mendapatkan sumber strategik, meneroka peluang kerjasama serta membina peluang perniagaan jangka panjang.
Majlis itu turut menyaksikan pembentangan utama daripada beberapa agensi kerajaan berkaitan dasar dan inisiatif yang menyokong pembangunan perniagaan serta pertumbuhan ekonomi negara.
Wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkongsi mengenai Dasar Pengguna Negara 2.0 yang menekankan komitmen kerajaan dalam memperkukuh perlindungan pengguna, selain menggalakkan amalan perniagaan yang bertanggungjawab, inovatif dan mampan.
Sementara itu, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memberi penerangan mengenai kepentingan perlindungan harta intelek (IP) termasuk tanda dagangan, paten, reka bentuk perindustrian dan inovasi sebagai aset penting yang mampu meningkatkan daya saing perniagaan.
Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) pula berkongsi peluang pembangunan francais serta memperkenalkan produk kewangan dan program sokongan perniagaan bagi membantu usahawan mengembangkan operasi masing-masing.
Selain sesi pembentangan, peserta turut terbabit dalam padanan perniagaan strategik, jaringan eksekutif, pameran korporat serta perbincangan kerjasama merentasi sektor.
Sebagai platform ekosistem G2B2C utama negara, CAN akan meneruskan penganjuran sesi jaringan strategik, program padanan perniagaan, inisiatif libat urus kerajaan, platform pengiktirafan pengguna serta aktiviti pembangunan korporat bagi memperkukuh kerjasama sektor awam dan swasta.
CAN merupakan inisiatif MTPN yang menghubungkan kerajaan, perniagaan dan pengguna melalui kerjasama strategik, perkongsian ilmu, pengiktirafan pengguna serta inisiatif pertumbuhan korporat bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kukuh dan mampan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















