Net7 jadi pemangkin baharu revolusi rangkaian perniagaan berasaskan AI
KUALA LUMPUR – Dunia perniagaan tempatan melangkah ke fasa baharu apabila MoneyX dengan kerjasama Mandrill Tech Sdn Bhd, melancarkan Net7, platform Customer Relationship Management (CRM) pintar berkuasa kecerdasan buatan (AI) pertama di Malaysia.
Dibangunkan oleh lebih 150 pakar teknologi tempatan, Net7 direka untuk membantu profesional dan perusahaan mengurus, membina serta memperkukuh rangkaian perniagaan mereka dengan lebih efisien dan tersusun.
Ketua Pegawai Eksekutif Hextar Technologies Solutions Berhad, Datuk Eddie Ong Choo Meng berkata, Net7 dibangunkan dengan tahap keselamatan tinggi serta kebolehskalaan global, sesuai untuk digunakan dalam pelbagai sektor termasuk perbankan, insurans dan runcit.
“Platform ini berintegrasi dengan lancar bersama sistem CRM utama, menyokong piawaian ISO 27001, mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan menggalakkan rangkaian digital lestari dengan mengurangkan penggunaan kad nama bercetak.
“Net7 membawa maksud jaringan tanpa sempadan di tujuh benua. Dengan menggabungkan inovasi AI dan kecerdasan CRM, kami mentakrif semula cara perniagaan mengubah kad nama biasa menjadi hubungan yang berkekalan serta peluang sebenar,” katanya.
Eddie Ong berkata, berbeza daripada aplikasi kenalan tradisional yang sekadar menyimpan nombor telefon atau alamat e-mel, Net7 mengubah data mentah kepada profil perniagaan yang boleh dicari serta dikategorikan secara pintar menggunakan pandangan berasaskan AI.
“Sama ada mengimbas timbunan kad perniagaan atau mendapatkan semula maklumat hubungan lama, Net7 memastikan setiap hubungan perniagaan kekal aktif dan tidak terputus.
“Antara kelebihan utama Net7 ialah mengurangkan sehingga 99 peratus kerja kemasukan data manual, pengelasan industri automatik, pengecaman peranan dan pandangan tersusun.
“Selain itu, sistem ini juga memastikan maklumat kenalan bernilai kekal menjadi aset milik syarikat, bukan individu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mandrill Tech Sdn Bhd, Davent Low berkata, kejayaan pelancaran Net7 akan diikuti dengan Net7 Enterprise yang dijadual dilancar hujung tahun ini.
Katanya, versi baharu itu akan menggunakan kecerdasan data lanjutan untuk memberi pelanggan pandangan terkini mengenai rangkaian mereka serta mencadangkan peluang jualan tambahan secara automatik melalui analisis AI.
“Secara tradisional, kad perniagaan hanyalah maklumat statik. Namun melalui Net7, pengguna akan sentiasa dimaklumkan apabila kenalan berpindah ke syarikat atau peranan baharu.
“Gabungan ciri-ciri ini menjadikan pengurusan hubungan profesional lebih pintar, mudah dan berkesan,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








