AI bantu gagalkan pencerobohan sempadan – Tentera Darat semakin bersedia
KUALA LUMPUR – Penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) terus membuahkan hasil apabila berjaya menggagalkan cubaan pencerobohan sempadan negara di Kalabakan, Sabah baru-baru ini.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, TDM mula menggunakan teknologi AI sejak pelaksanaan Operasi Benteng (Op Benteng) ketika negara berdepan penularan pandemik Covid-19.
Beliau berkata, antara sistem utama yang digunakan ialah Intrusion Detection System (IDS) atau Sistem Pengesanan Pencerobohan yang turut dikenali dengan kod nama BONSAI, yang berfungsi mengesan pergerakan dan gegaran menggunakan sensor seismik dan kamera.
“Peralatan ini telah dipasang di setiap formasi yang bertugas di sempadan, dan apa yang kita lihat, penggunaan AI sangat membantu dalam penguatkuasaan di perbatasan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ibadah Korban Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Keberkesanan sistem itu terbukti apabila Sistem AI Security Intrusion Detection Equipment (SIDE) berjaya mengesan pergerakan dua individu yang cuba meloloskan diri melalui Laluan Haram 8, Kalabakan, pada 8 Jun lalu.

Susulan itu, kumpulan ronda daripada Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD) yang digerakkan menerusi Op BALASAH telah bertindak pantas menahan kedua-dua suspek sebelum melaporkannya kepada Balai Polis Kalabakan.
Mereka kemudiannya diusir mengikut prosedur yang ditetapkan.
Menurut Muhammad Fauzi, penggunaan teknologi itu telah dimulakan sejak tahun 2021 dan kejayaan terkini membuktikan komitmen Tentera Darat dalam memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara.
“Kita yakin lebih banyak teknologi berasaskan AI dan robotik akan diguna pakai pada masa depan, seiring dengan konsep ‘unmanned’ atau sistem tanpa pemandu dalam operasi pertahanan moden,” katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa sistem radar yang digunakan Tentera Darat juga sebenarnya berasaskan AI, dengan keupayaan melakukan analisis secara automatik.
“Tentera Darat sentiasa terbuka terhadap penerokaan teknologi baharu. Anggota-anggota kita turut dilatih secara khusus, termasuk graduan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didedahkan dengan pembelajaran dalam bidang AI dan sistem cerdas,” katanya lagi.
Tambah beliau, kesiapsiagaan Tentera Darat adalah selaras dengan keperluan untuk menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan yang semakin kompleks.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








