LIMA’25: Maritim Malaysia teroka teknologi baharu perkukuh kawalan perairan
LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak melepaskan peluang memanfaatkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) bagi meneroka potensi teknologi moden dalam memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada usaha reformasi operasi agensi dalam menghadapi cabaran jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.
“Maritim Malaysia melihat keperluan untuk meneroka teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), analisis data masa nyata dan sistem pemantauan pintar bagi meningkatkan kecekapan pemantauan serta tindak balas terhadap insiden di laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, penganjuran LIMA’25 menjadi platform penting bagi Maritim Malaysia untuk mengenal pasti peluang kerjasama strategik serta teknologi yang sesuai dengan keperluan operasi semasa.
“Maritim Malaysia turut mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama baharu bersama rakan strategik dari dalam dan luar negara dalam memastikan aset, sistem serta keupayaan operasi kekal relevan dan efektif,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa teknologi tidak boleh menggantikan sepenuhnya kecekapan manusia, sebaliknya perlu berperanan sebagai pelengkap dalam memperkasa operasi penguatkuasaan maritim secara menyeluruh.
“AI boleh membantu dalam membuat keputusan pantas, mengesan kehadiran Vesel Nelayan Asing (VNA) serta memberi amaran awal menerusi pengesanan automatik,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Maritim Malaysia dijangka mengadakan beberapa sesi perbincangan tertutup bersama rakan strategik dan agensi keselamatan antarabangsa sepanjang LIMA’25 bagi memperhalusi potensi kerjasama jangka panjang.
LIMA’25 yang berlangsung di Langkawi dari 20 hingga 24 Mei ini menyaksikan penyertaan lebih 860 pempamer tempatan dan antarabangsa, dengan pelbagai demonstrasi udara dan laut turut dijadualkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








