AI tidak gugat peluang pekerjaan dalam keselamatan siber
AI dilihat sebagai pelengkap, bukan pengganti kepada peranan manusia dalam menangani ancaman siber
CYBERJAYA – Kecerdasan Buatan (AI) tidak akan mengurangkan peluang pekerjaan dalam bidang keselamatan siber, sebaliknya akan meningkatkan keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor berkenaan.
Menurut Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zulkarnain Mohd Yasin, penggunaan teknologi AI dalam keselamatan siber akan membuka lebih banyak ruang untuk inovasi.
Beliau berkata, ia sekali gus meningkatkan permintaan terhadap kepakaran manusia yang mampu berfikir secara kritikal dan bertindak secara strategik bagi menangani ancaman digital yang semakin kompleks.
“Saya rasa AI tidak akan mengurangkan kerja melibatkan keselamatan siber kerana lebih banyak AI yang digunakan dalam sektor ini akan memerlukan tenaga kerja bagi menyokong pelaksanaannya, termasuk pasukan keselamatan siber.
“AI hanya boleh menghimpunkan maklumat dengan efisien tetapi ia tidak mampu berinovasi. Dalam keselamatan siber, kita perlukan inovasi dan pemikir yang mampu menjangka ancaman serta merancang strategi jangka panjang. Inovasi dan pemikiran kritikal masih datang daripada manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa forum bertajuk The Future of Connectivity: Advancing Digital Inclusion Through Transformative Technologies.
Ia diadakan sempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025, ulang tahun ke-160 Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), dan program Girls in ICT (GICT), anjuran MCMC di sini hari ini.
Forum tersebut turut menghimpunkan pelbagai pakar industri, pembuat dasar dan pemimpin teknologi dalam membincangkan peranan teknologi transformasi dalam merapatkan jurang digital dan memacu keterangkuman digital di seluruh negara.
Baca juga : MCMC, Microsoft Malaysia komited perluas program AI Teach ke negeri lain
Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, pekerja dalam bidang keselamatan siber perlu meningkatkan tahap kemahiran dan ilmu pengetahuan mereka agar sejajar dengan kemajuan teknologi, terutama dalam mengintegrasikan AI ke dalam tugasan harian.
Beliau turut memberi contoh bagaimana kandungan digital seperti imej bendera yang dihasilkan oleh AI masih memerlukan manusia untuk melakukan semakan dan pengesahan.
“Ia membuktikan keperluan terhadap tenaga kerja manusia yang mempunyai ketelitian dan daya analisis yang tinggi,” jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Latihan Teknikal Keselamatan Siber, BlackBerry CCoE, Jaclyn Sim berkata penggunaan AI berpotensi menggantikan sesetengah pekerjaan yang bersifat berulang, namun akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan yang memerlukan pemikiran analitik dan kreatif.
“Kita mahu AI melakukan kerja yang berulang, manakala manusia akan menumpukan kepada kerja yang memerlukan penilaian kritikal.
“Contohnya, AI mungkin menghasilkan imej yang tidak tepat atau maklumat palsu seperti deepfake, dan tugas manusia adalah untuk mengenal pasti sama ada kandungan tersebut sahih atau tidak,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Kanan Perhubungan Kerajaan dan Industri Ericsson Malaysia, Evelyne Wan Mokhtar berkata, manusia perlu mengambil peluang daripada kebangkitan teknologi AI dengan memperkukuh kemahiran dan menyesuaikan diri dengan keperluan semasa industri.
“Kita perlu melihat AI sebagai alat untuk mempercepat dan mempermudah kerja kita, bukan sebagai ancaman. Ini adalah masa untuk kita bangunkan keupayaan diri, belajar kemahiran baharu, dan berada selangkah di hadapan dalam era digital ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








