Simpanan RM15,000 kurangkan penangguhan tawaran haji kepada 18 peratus
KUALA LUMPUR – Kadar penangguhan tawaran menunaikan haji berjaya dikurangkan kepada 18 peratus selepas Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan syarat simpanan minimum RM15,000 kepada bakal jemaah yang menerima tawaran berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ketetapan menerusi Pelan Persediaan Haji Seruan Istito’ah itu bertujuan memastikan bakal jemaah membuat persediaan kewangan lebih awal sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Syarat baharu ini turut mengambil kira saranan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) supaya bayaran pendaftaran asas dan deposit kelayakan automatik disemak berdasarkan kos semasa.
“Pengalaman Tabung Haji (TH) sebelum ini menunjukkan ramai bakal jemaah haji yang tidak membuat persediaan secukupnya apabila lebih 50 peratus daripada tawaran haji dimohon untuk ditangguhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, kadar penangguhan yang tinggi sebelum ini menyebabkan TH terpaksa membuat tawaran kepada jemaah gantian berulang kali dalam tempoh singkat, sekali gus memberi kesan kepada kelancaran pengurusan giliran haji.
“Syarat simpanan minimum RM15,000 itu merupakan penambahbaikan terhadap ketetapan terdahulu yang menetapkan jumlah simpanan minimum RM1,300 sejak 1995, selaras dengan konsep istito’ah atau kemampuan seseorang untuk menunaikan ibadah haji,” tambahnya.
Bagaimanapun, kebimbangan turut dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen berhubung kemampuan pendeposit, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, untuk memenuhi syarat tersebut.
Menjawab perkara itu, Zulkifli berkata pendeposit sedia ada diberikan tempoh sehingga 31 Disember 2028 untuk menambah simpanan masing-masing kepada RM15,000 bagi mengekalkan giliran haji mereka.
Beliau turut menjelaskan bahawa simpanan berkenaan masih layak menerima agihan keuntungan tahunan TH.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli memaklumkan kerajaan menanggung sepenuhnya caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi 40,000 petugas agama di seluruh negara, termasuk imam, bilal, siak, marbut, noja dan guru takmir.
Menurutnya, TH dipilih untuk menguruskan caruman itu berdasarkan pengalamannya mengendalikan skim perlindungan kebajikan untuk pendeposit.
Sementara itu, kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus memberi perhatian terhadap kebajikan kira-kira 36,500 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), termasuk melalui peningkatan elaun secara berperingkat.
Zulkifli berkata, guru KAFA kini menerima elaun bulanan RM1,100, selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM143 dan PERKESO RM18 yang ditanggung kerajaan.
Beliau turut mengumumkan imbuhan bonus guru KAFA bagi 2027 dinaikkan kepada RM750, berbanding RM500 pada tahun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
