BERITA SEMASA

Banjir Nepal: 15 pendaki Malaysia di Annapurna Base Camp selamat

KUALA LUMPUR – Seramai 15 pendaki rakyat Malaysia yang berada di Annapurna Base Camp, Nepal dilaporkan selamat dan kini dalam perjalanan turun selepas berjaya tiba di lokasi pendakian berkenaan.

Pemandu pelancong, Nana Jaapar berkata, kumpulan berkenaan ketika ini berdepan hujan renyai, namun kawasan mereka berada jauh daripada lokasi yang dilanda banjir kilat.

“Setakat ini, saya bersama 14 lagi pendaki Malaysia dalam perjalanan turun dari Annapurna Base Camp dan situasi di sini, kami semua selamat.

“Cuma hujan-hujan sikit. Lokasi banjir kilat agak jauh dengan kami. Kami pun dah sampai puncak dan sekarang sedang turun ke rumah rehat dengan selamat,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Menurut Nana, semua anggota kumpulan turut memaklumkan keadaan masing-masing kepada ahli keluarga di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, capaian internet yang tidak stabil di kawasan pendakian menyebabkan ada antara mereka terputus hubungan dengan keluarga untuk sementara waktu.

“Memang ada masalah capaian internet di sini yang menyebabkan ada yang terputus hubungan sementara dengan keluarga.

“Insya-Allah, kalau keadaan stabil, esok kami sudah boleh sampai ke bandar,” katanya.

Terdahulu, banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Nepal mencetuskan kebimbangan selepas terdapat laporan mengenai rakyat Malaysia yang sukar dihubungi keluarga dan kenalan.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Mohd Firdaus Azman sebelum ini dilaporkan berkata, kedudukan 56 rakyat Malaysia yang terputus hubungan susulan kejadian banjir kilat itu masih belum dikenal pasti.

Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini diterima, kesemua rakyat Malaysia terbabit sebelum ini dilaporkan menuju ke kawasan yang terjejas akibat bencana berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jabatan berkaitan supaya segera mengenal pasti dan menghubungi rakyat Malaysia yang terjejas susulan kejadian banjir kilat di Nepal.

Arahan itu membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar, termasuk usaha menghubungi kementerian serta kedutaan Malaysia di New Delhi, India dan Kathmandu, Nepal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button