LUAR NEGARA

Rusuhan: Macron tolak peletakan jawatan menteri dalam negeri

 

PARIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron menolak peletakan jawatan Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez, susulan rusuhan ganas yang melanda negara itu sepanjang hujung minggu lalu sehingga mengakibatkan ribuan ditangkap dan hampir 1,000 anggota keselamatan cedera.

Pejabat Presiden Elysee dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, Macron mahu Nunez terus memegang jawatan bagi memastikan rantaian arahan dalam pasukan polis dan keselamatan tidak terjejas.

Beliau turut mengarahkan menteri itu merangka pendekatan baharu dengan segera bagi membendung kegiatan penjarahan premis perniagaan yang semakin membimbangkan.

Keputusan itu dibuat meskipun beberapa ahli politik pembangkang menggesa Nunez dipecat susulan kegagalan membendung keganasan yang tercetus ketika demonstrasi di seluruh negara.

Kementerian Dalam Negeri Perancis melaporkan hampir 2,400 orang ditahan pada Sabtu, manakala hampir 1,000 anggota polis dan polis separa tentera (gendarmes) cedera dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan.

Rusuhan itu menyaksikan sebuah dewan bandar raya berusia 143 tahun dibakar, premis perniagaan dijarah dan bangunan diconteng dengan grafiti ketika kumpulan ganas bertempur dengan pihak berkuasa di beberapa bandar utama.

Ketegangan berterusan pada Ahad apabila pertempuran tercetus di Paris dan Marseille, memaksa polis antirusuhan campur tangan bagi menghalang cubaan merompak premis perniagaan.

Demonstrasi yang disifatkan antara paling buruk dalam tempoh beberapa tahun itu pada awalnya tercetus akibat kemarahan orang ramai terhadap peningkatan kos sara hidup, kemerosotan perkhidmatan awam serta keadaan sekolah.

Macron sebelum ini dilaporkan berdepan tekanan susulan protes ganas berkenaan dan pada Isnin mengakui wujud ‘kelemahan dalam aspek jangkaan dan risikan’.

Bagaimanapun, pengakuan itu tidak mengubah pendiriannya untuk mengekalkan Nunez dalam Kabinet, dengan keutamaan diberikan kepada usaha memulihkan ketenteraman awam dan membendung keganasan daripada terus merebak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button