10 lagi rakyat Malaysia dipenjara di Narathiwat, jumlah tahanan cecah 43 orang
NARATHIWAT – Sepuluh lagi rakyat Malaysia kebanyakannya berasal dari Kelantan, dihantar ke Penjara Wilayah Narathiwat sejak awal tahun ini selepas ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah.
Pengarah Penjara Narathiwat, Superintendan Surin Chantep berkata, penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang kini ditahan di penjara berkenaan meningkat kepada 43 orang.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 40 adalah lelaki manakala tiga lagi wanita.
“Daripada 43 rakyat Malaysia itu, seramai 28 orang termasuk tiga wanita dipenjarakan atas kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah, manakala selebihnya ditahan atas kesalahan jenayah lain,” katanya memetik laporan Metro Online.
Surin berkata, sebahagian daripada tahanan berkenaan telah dijatuhkan hukuman penjara, manakala yang lain masih menunggu proses perbicaraan di mahkamah Narathiwat.
Beliau turut memaklumkan bahawa selain dari Kelantan, terdapat juga tahanan rakyat Malaysia yang berasal dari negeri lain seperti Selangor dan Terengganu.
Katanya, 43 rakyat Malaysia itu adalah sebahagian daripada lebih 3,000 banduan dari pelbagai negara yang kini ditahan di penjara tersebut.
Menyentuh mengenai banduan Islam, Surin berkata mereka dibenarkan menjalankan ibadah sepanjang Ramadan termasuk berpuasa serta menunaikan solat tarawih.
“Mereka diberi layanan yang sama tanpa mengira agama. Banduan Islam disediakan makanan halal untuk berbuka puasa dan dibenarkan menunaikan solat,” katanya.
Beliau berkata ahli keluarga, termasuk dari Malaysia, turut dibenarkan melawat banduan pada hari lawatan yang ditetapkan.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, pihak penjara juga akan menganjurkan majlis berbuka puasa khas untuk banduan rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka dari Malaysia dibenarkan menyertainya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








