13 rakyat malaysia kekal di Iran, Wisma Putra beri jaminan terus beri bantuan
PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri memberi jaminan akan terus menyalurkan bantuan dan perkhidmatan konsular kepada rakyat Malaysia di Iran yang memilih untuk kekal berada di negara itu atas kerelaan sendiri meskipun situasi keselamatan masih menjadi perhatian.
Kementerian Luar Negeri yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan pihaknya sentiasa memantau rapat perkembangan semasa di lapangan dengan keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia.
Menurut Wisma Putra, pihaknya mengambil maklum minat pihak media untuk menghubungi individu terlibat, namun tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat peribadi.
“Bagi menghormati privasi dan keputusan peribadi mereka serta selaras dengan prinsip perlindungan data peribadi, kementerian tidak dapat berkongsi butiran kenalan atau mengaturkan sesi libat urus antara media dan rakyat terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Luar, Mohamad Hasan memaklumkan seramai 13 rakyat Malaysia masih berada di Iran dan memilih untuk tidak pulang ke tanah air.
Beliau berkata, kesemua mereka termasuk pelajar telah dinasihatkan beberapa kali supaya kembali ke Malaysia, malah kerajaan turut meminta mereka menandatangani surat indemniti sebagai pengakuan bahawa keputusan untuk kekal di Iran dibuat atas kehendak sendiri.
Sementara itu, Wisma Putra mengulangi nasihat perjalanan terdahulu seperti terkandung dalam Pemakluman Media (Ruj: 011) bertarikh 5 Februari lalu yang masih berkuat kuasa, iaitu rakyat Malaysia diminta menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke Iran buat masa ini.
Rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan juga disaran mempertimbangkan aturan perjalanan sewajarnya melalui perkhidmatan komersial sedia ada. Mereka yang memilih untuk terus berada di Iran diminta sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan perhimpunan awam berskala besar serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Bagi sebarang bantuan konsular, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri di talian +603-8887 4597 / +603-8887 4769 / +603-8887 4264 atau e-mel [bkrm@kln.gov.my](mailto:bkrm@kln.gov.my).
Talian kecemasan luar waktu pejabat pula boleh dihubungi di +603-8887 4570 atau melalui e-mel [dutyofficer@kln.gov.my](mailto:dutyofficer@kln.gov.my).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








