BERITA SEMASA

Malaysia tegaskan keamanan Yaman hanya dapat dicapai melalui rundingan, pendamaian menyeluruh

PUTRAJAYA – Malaysia menegaskan keamanan berkekalan di Yaman hanya dapat direalisasikan melalui rundingan yang konstruktif, pendamaian menyeluruh antara semua pihak serta pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.

Susulan peningkatan ketegangan keselamatan di negara itu, Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini, menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap laporan operasi ketenteraan secara sehala serta kemaraan Majlis Peralihan Selatan (Southern Transitional Council, STC) di wilayah timur Hadramawt dan Al-Mahra.

“Tindakan STC telah meningkatkan ketegangan dan mengancam keadaan keselamatan yang sedia rapuh.

“Perkembangan ini berisiko menjejaskan kemajuan yang telah dicapai ke arah penyelesaian politik, mencetuskan perpecahan serta memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi oleh rakyat Yaman,” kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Malaysia memuji usaha berterusan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam membantu meredakan ketegangan.

“Malaysia menggalakkan semua pemain serantau dan antarabangsa menyokong inisiatif yang bertujuan menegakkan kedaulatan, integriti wilayah serta kemerdekaan Yaman.

“Malaysia turut mengulangi sokongan penuh terhadap Majlis Kepimpinan Presiden (Presidential Leadership Council, PLC) dan Kerajaan Republik Yaman sebagai pihak berkuasa sah yang diiktiraf untuk memimpin negara itu melalui proses peralihan dan pembinaan keamanan,” katanya.

Sehubungan itu, Malaysia menegaskan kepentingan menghormati kerangka perlembagaan dan politik Yaman serta menggesa semua pihak agar terus komited terhadap dialog dan rundingan secara aman, menyelesaikan pertikaian melalui saluran politik dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan negara tersebut.

“Malaysia akan terus berdiri teguh dalam solidariti bersama rakyat Yaman yang masih berdepan penderitaan berpanjangan serta keperluan kemanusiaan yang mendesak,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button