BERITA SEMASA

Negara anggota setuju kekalkan pasukan pengaman UNIFIL sehingga November

JOHOR BAHRU – Semua negara anggota yang menyertai misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di selatan Lubnan, bersetuju untuk mengekalkan penempatan pasukan masing-masing sehingga tamat mandat dipersetujui pada November ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, perkara itu telah dibincangkan di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan setakat ini tiada keputusan untuk menamatkan penugasan lebih awal.

Beliau menambah, sebarang keputusan berhubung kedudukan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 adalah tertakluk kepada pertimbangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.

“Isu MALBATT ini telah dibincangkan di peringkat PBB dan semua negara ahli nampaknya bersetuju untuk mengekalkan tentera mereka di situ sehingga tamat mandat yang berakhir pada November ini.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada Kementerian Pertahanan. Apa juga keputusan kementerian itu akan dibawa ke Kabinet dan sekiranya dipersetujui.

“Kementerian Luar akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas makan tengah hari bersama pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, di sini hari ini.

Menurut Mohamad, keadaan semasa anggota MALBATT di selatan Lubnan masih terkawal kerana mereka tidak ditempatkan di barisan hadapan kawasan konflik.

Sebaliknya, anggota Malaysia kini berada di kawasan belakang dan tidak lagi menjalankan rondaan demi mengutamakan aspek keselamatan, tambahnya.

Ketik diminta mengulas mengenai cadangan membawa pulang anggota MALBATT lebih awal, Mohamad menjelaskan tindakan itu tidak praktikal dilaksanakan kerana akan melibatkan kos yang amat tinggi.

Katanya, lebih wajar anggota terbabit kekal sehingga tamat mandat PBB sebelum proses pengunduran dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan UNIFIL.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button