Kesemua rakyat Malaysia terperangkap banjir di Thailand sudah dibawa keluar
KUALA LUMPUR – Kesemua rakyat Malaysia yang terkandas dalam banjir besar di Hatyai dan kawasan sekitarnya berjaya dibawa keluar dalam satu operasi evakuasi berskala besar yang digerakkan sejak lebih seminggu lalu.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu dijalankan secara bersepadu melibatkan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla serta lebih 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan sukarelawan.
“Sejak operasi bermula pada 22 November lalu, seramai 6,222 rakyat Malaysia yang terkandas berjaya diselamatkan.
“Pada hari penutup operasi, baki 12 individu yang masih belum dipindahkan turut dibawa keluar melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, menandakan selesainya keseluruhan proses evakuasi,” kata Wisma Putra melalui kenyataan semalam.
Menurut kementerian, operasi ini berdepan cabaran getir termasuk arus deras, paras air yang meningkat serta gangguan komunikasi namun setiap rakyat Malaysia yang terperangkap termasuk mereka di lebih 150 hotel dan rumah penginapan kecil berjaya ditemui dan dipindahkan ke lokasi selamat.
Malaysia turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Thailand atas kerjasama rapat dan sokongan yang diberikan sepanjang misi evakuasi itu.
Penghargaan sama turut ditujukan kepada NGO serta sukarelawan yang memainkan peranan penting menghulurkan bantuan.
Kementerian dalam pada itu menasihatkan rakyat Malaysia agar mendaftar keberadaan mereka dengan wakil diplomatik terdekat sekiranya berada di kawasan berisiko banjir bermusim bagi memudahkan sebarang bantuan kecemasan disalurkan dengan cepat.
Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla akan terus memantau keadaan dan menyediakan sokongan kepada mana-mana rakyat Malaysia yang masih memerlukan bantuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








