LUAR NEGARA

Seorang maut dalam serangan Iran ke atas Kuwait

KUWAIT CITY – Seorang terbunuh manakala beberapa lagi cedera selepas serangan peluru berpandu dan dron yang didakwa dilancarkan oleh Iran mengenai beberapa kemudahan awam serta infrastruktur penting di negara ini, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait.

Kementerian Luar Kuwait dalam kenyataannya pada Rabu mengecam sekeras-kerasnya serangan berkenaan yang disifatkan sebagai tindakan agresif terhadap kedaulatan negara itu.

Menurut kementerian itu, serangan yang berlaku pada awal pagi itu menyebabkan kerosakan terhadap beberapa fasiliti utama termasuk bangunan lapangan terbang dan misi diplomatik asing, selain mengorbankan seorang mangsa serta mencederakan beberapa individu lain.

“Kuwait menolak sama sekali serangan agresif yang menyasarkan kemudahan awam dan infrastruktur penting negara,” menurut kenyataan tersebut.

Kuwait turut memberi amaran bahawa tindakan sedemikian berisiko mencetuskan ketegangan lebih besar di rantau Teluk serta melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Resolusi 2817 Majlis Keselamatan PBB.

Kementerian itu menegaskan bahawa kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta penduduk Kuwait merupakan ‘garis merah’ yang tidak boleh dicabuli.

Tambahnya, siri serangan yang berulang menunjukkan pola pencerobohan yang terancang dan tidak akan diterima oleh Kuwait.

Dalam pada itu, kerajaan Kuwait menegaskan negara itu berhak mengambil segala langkah yang dianggap perlu bagi mempertahankan keselamatan dan wilayahnya selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Serangan terbaharu itu dilaporkan berlaku ketika ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat kembali memuncak, dengan kedua-dua pihak saling melancarkan serangan di rantau Teluk.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button