Polis Thailand tahan 5 rakyat Malaysia, rampas 440kg syabu
KOTA BHARU – Polis Thailand menahan lima rakyat Malaysia dan merampas 440 kilogram (kg) syabu bernilai lebih RM20 juta di Nakhon Pathom, 14 Mei lalu.
Jurucakap polis Thailand berkata, tangkapan itu merupakan operasi susulan selepas pihak berkuasa Thailand memperluaskan siasatan terhadap satu sindiket pengedaran dadah susulan penahanan seorang warga Malaysia, 5 Mei lalu, lapor Buletin TV3
Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa Thailand merampas 102kg syabu bernilai lebih RM5 juta yang disorokkan dalam ruang pembesar suara sebuah kereta.
“Pada 14 Mei, pihak berkuasa Thailand mengesan beberapa kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah itu memasuki Thailand melalui pintu sempadan Padang Besar sebelum bergerak ke wilayah Nakhon Pathom.
“Mereka mengekori kenderaan terbabit ke sebuah hotel di daerah Muang sebelum beberapa lagi kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia tiba, menjadikan keseluruhannya empat kenderaan yang sepadan dengan maklumat risikan pihak berkuasa.
“Polis kemudian menyerbu dan menahan lima warga Malaysia ketika mereka bersiap untuk meninggalkan hotel secara konvoi,” katanya sambil memaklumkan 440kg syabu kemudian ditemukan disembunyikan dalam keempat-empat kenderaan itu.
Jurucakap itu berkata, pihak berkuasa kini sedang menjejaki aset yang mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.
“Mereka akan mengenal pasti anggota lain yang terbabit dalam pengedaran dadah rentas sempadan serta rangkaian logistik mereka.
“Kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah transnasional Malaysia ini selaras dengan dasar yang diperkenalkan kerajaan Thailand dan Polis Diraja Thailand dalam membanteras aktiviti haram serta jenayah rentas negara.
“Biro Kawalan Narkotik akan terus memperluaskan siasatan terhadap aliran kewangan dan kumpulan berkaitan, termasuk warga Thailand yang bertindak sebagai proksi bagi membantu sindiket pengedaran dadah itu, sekali gus melumpuhkan sepenuhnya rangkaian terbabit,” kata jurucakap itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








