MB Perlis digantung keahlian BERSATU selama dua penggal
PADANG BESAR – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah digantung keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selama dua penggal pemilihan parti berkuat kuasa 13 Oktober lalu.
Pengerusi BERSATU Perlis, Izizam Ibrahim mengesahkan perkara itu dan berkata surat penggantungan terhadap Abu Bakar yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kangar dikeluarkan minggu lalu.
Bagaimanapun, Izizam menafikan beliau terbabit dalam penyebaran surat berkenaan yang tular di media sosial sejak kelmarin.
“Ya, betul, surat dikeluarkan minggu lepas, tetapi bukan saya yang tularkan. Menteri Besar juga sudah mengetahui mengenai surat penggantungan itu.
“Buat masa ini, kita sedang menunggu keputusan rasmi daripada kepemimpinan Bersatu Pusat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Surat bertarikh 14 Oktober yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan itu memaklumkan keputusan penggantungan dibuat selepas lembaga berkenaan bersidang pada 13 Oktober.
Menurut notis itu, tindakan berkenaan diambil mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu susulan dakwaan pelanggaran Fasal 9.1.4 perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Selain digantung keahlian, Abu Bakar turut dilucutkan semua jawatan dalam parti dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan atas nama Bersatu sepanjang tempoh penggantungan.
Bagaimanapun, beliau diberi hak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








