Dadah bernilai RM1.6 juta dirampas, 2 lelaki ditahan di KLIA dan KLIA2
SEPANG – Dua lelaki ditahan polis dalam dua serbuan berasingan kerana disyaki cuba menyeludup dadah bernilai lebih RM1.6 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 minggu lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah KLIA, Superintendan Azman Abu Hassan, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun yang ditahan di kawasan balai ketibaan KLIA pada 27 Mac lalu pukul 10.15 pagi kerana berkelakuan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bagasi suspek mendapati terdapat lima buah beg komputer riba baharu. Pemeriksaan lanjut menemui dua bungkusan plastik hitam di dalam setiap beg tersebut yang mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya lagi, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 5,726 gram dengan nilai pasaran sekitar RM1,145,200.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya adalah negatif. Dadah itu dipercayai dibawa dari Brazil untuk dipasarkan ke luar negara,” tambahnya.
Katanya, modus operandi suspek adalah dengan menyembunyikan dadah dalam beg komputer riba baharu bagi mengaburi pihak keselamatan.
“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 3 April dan reman disambung sehingga 8 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati,” katanya.
Sementara itu katanya, dalam kes berasingan pada 29 Mac pukul 8.30 pagi, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun turut ditahan di kawasan balai pelepasan KLIA2 setelah pemeriksaan bagasinya menemukan 15 bungkusan plastik mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.
“Anggaran berat dadah yang dirampas adalah 15,978 gram dengan nilai pasaran RM511,296. Dadah itu dipercayai untuk dipasarkan ke Sarawak,” kata Azman.
Menurutnya lagi, semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan tiga lagi rekod jenayah.
Pada masa sama, ujian air kencingnya juga didapati positif methamphetamine dan amphetamine.
“Suspek menggunakan taktik membalut dadah dengan plastik hitam serta menggunakan perkhidmatan daftar masuk kendiri (self check-in) untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.
“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 5 April 2025 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jumlah keseluruhan dadah jenis kokain yang dirampas boleh dibekalkan kepada 28,630 orang pengguna dalam masa sehari, manakala dadah jenis syabu pula boleh dibekalkan kepada 79,890 orang pengguna dalam tempoh sama,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








