BERITA SEMASA

Maritim Malaysia perkukuh rondaan laut, rampas dadah hampir RM200 juta sejak 2020

JITRA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mencatatkan 117 kes tangkapan dadah dengan nilai rampasan hampir RM200 juta dari tahun 2020 hingga Jun 2025, hasil pelaksanaan pelbagai operasi bersepadu di seluruh negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, jumlah rampasan itu membuktikan keupayaan dan komitmen tinggi agensi dalam membanteras penyeludupan dadah rentas sempadan melalui perairan negara.

“Ini bukan angka yang kecil. Setiap rampasan menyelamatkan ribuan nyawa daripada terjerumus dalam gejala penagihan dadah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sempena Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2025 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.

Menurut beliau, Maritim Malaysia kini berada dalam tahap kesiapsiagaan tinggi dan akan terus memperkukuh rondaan serta penguatkuasaan maritim secara berterusan.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana cubaan menyeludup dadah ke negara ini melalui jalan laut. Setiap inci sempadan perairan negara adalah tanggungjawab kami,” tegasnya.

Mohd Rosli turut mengakui perairan negara kekal menjadi sasaran sindiket dadah antarabangsa yang menganggap laluan laut sebagai ‘jalan selamat’ untuk penyeludupan, sejajar dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri bahawa 80 peratus bekalan dadah ke Malaysia masuk melalui laut.

Bagi memperkukuh penguatkuasaan, katanya, Maritim Malaysia juga telah mempertingkat keupayaan aset fizikal menerusi perolehan strategik termasuk aset laut dan udara.

“Antara aset utama ialah Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah yang kini beroperasi di perairan Laut China Selatan, selain bot peronda generasi baharu yang telah ditempatkan di kawasan panas.

“Maritim Malaysia juga bakal menerima kapal EX-USCG Cutter Steadfast yang dijadual tiba pada November 2025, helikopter AW189 pada 2026 dan Kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) dari Turkiye pada 2027,” katanya.

Menurut beliau, perolehan aset baharu itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan operasi fizikal, malah memperkukuh aspek pemantauan dan keselamatan perairan negara secara menyeluruh.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas perhatian dan kelulusan terhadap permohonan penambahan aset yang dilaksanakan melalui Kementerian Dalam Negeri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button