
Gardenia santuni 50 keluarga asnaf, edar 30,000 buku roti sempena Ramadan
SUBANG JAYA – Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd menyantuni 50 keluarga asnaf serta mengagihkan 30,000 buku roti kepada 20 masjid terpilih di Semenanjung Malaysia menerusi Program Cahaya Ramadan 2026.

Program yang memasuki tahun keenam penganjurannya itu merupakan sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat syarikat dalam membantu golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Sejak dilaksanakan pada 2021 hingga tahun ini, sebanyak 138,500 buku roti berjaya diedarkan kepada komuniti setempat melalui program berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif seumpama itu wajar dicontohi lebih banyak pihak korporat dalam usaha membantu golongan memerlukan.
“Sesungguhnya keprihatinan seperti inilah yang kita harapkan daripada lebih banyak pihak korporat di negara ini agar berganding bahu bersama kerajaan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Selain pengagihan roti kepada jemaah masjid, Gardenia turut melaksanakan program Cahaya Ramadan: Sehari Bersama Gardenia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menerusi program itu, syarikat berkenaan menyalurkan dana berjumlah RM25,000 kepada 50 keluarga asnaf bagi membolehkan mereka membeli keperluan Aidilfitri mengikut pilihan masing-masing.
Program berkenaan berlangsung pada Rabu di Mydin Subang Jaya dengan setiap keluarga diiringi sukarelawan bagi memastikan sesi membeli-belah berjalan lancar.
Selepas itu, kesemua keluarga diraikan dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) IIUM sebelum menerima sumbangan duit raya daripada pihak Gardenia.
Sementara itu, Pengurus Kanan Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Ena Suhaila Abas berkata, pihaknya komited meneruskan pelbagai inisiatif kebajikan bagi memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, semangat memberi yang diterapkan syarikat itu bukan bersifat bermusim, sebaliknya menjadi pendekatan berterusan dalam menyokong kesejahteraan komuniti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






