Program Anjung Sinar berjaya lahirkan lima ikon cemerlang
KUALA LANGAT – Program Anjung Sinar anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) terus membuahkan hasil apabila lima ikon cemerlang berjaya dilahirkan, masing-masing mewakili kategori pendidikan, kepimpinan, komuniti, kerjaya dan sukarelawan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata
program itu merupakan sebuah model intervensi sosial berstruktur dalam membantu anak-anak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi melangkah ke alam dewasa.
“Anjung Sinar bukan sekadar satu program, tetapi sebuah ekosistem sokongan menyeluruh yang membentuk peserta dari segi emosi, fizikal, intelektual dan rohani. Ia adalah pelaburan jangka panjang yang memberi ruang untuk mereka bangkit dan menyinar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan Majlis Apresiasi dan Penghargaan Rakan Strategik Program Anjung Sinar 2025 yang berlangsung di Amverton Cove Golf & Island Resort, Pulau Carey, di sini semalam.
Pemilihan ikon-ikon tersebut dibuat berdasarkan pencapaian dan sumbangan signifikan peserta sepanjang tiga tahun mereka digilap dan dibimbing menerusi pendekatan menyeluruh yang ditawarkan oleh program berkenaan sejak dilaksanakan pada tahun 2023.
Baca juga : KPWKM komited dorong wanita ceburi bidang ekonomi
Sejak mula dilaksanakan, program ini telah memberi manfaat kepada 615 peserta dengan berpandukan modul khas yang dibangunkan oleh pegawai-pegawai daripada agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), dengan input serta maklum balas daripada 13 peserta lepasan institusi JKM sendiri.
Ia dilaksanakan secara berfasa iaitu Transisi, Transformasi dan Integrasi, sebagai satu pendekatan sistematik dalam memperkasa peserta.
Bagi kumpulan ketiga tahun ini, seramai 128 peserta daripada 24 institusi JKM seluruh negara telah menyertai Boot Camp Transisi Dinamik selama empat hari di Pulau Carey yang melibatkan pelbagai aktiviti pembangunan diri, latihan kemahiran hidup, pendedahan kerjaya serta pengukuhan jati diri.
Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik seperti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang banyak menyumbang dari aspek pendidikan, latihan dan pemadanan pekerjaan.
Beliau turut menggesa lebih banyak penyertaan sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperluaskan impak program ini.
“Dengan kerjasama pelbagai pihak, Anjung Sinar telah membuktikan bahawa latar belakang bukan penentu masa depan. Apa yang penting ialah peluang, sokongan dan bimbingan yang berterusan,” ujar beliau.
Antara pencapaian membanggakan yang turut diraikan dalam majlis tersebut ialah kejayaan 24 peserta yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Peserta itu termasuk beberapa orang yang meraih keputusan 8A dan kini melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi serta institusi pengajian tinggi tempatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




