Iran beri amaran konflik Asia Barat merebak ke laluan perdagangan Selat Bab al-Mandeb
TEHERAN – Iran memberi amaran laluan perdagangan Selat Bab al-Mandeb bakal disekat seperti Selat Hormuz jika Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) terus melaksanakan operasi ketenteraan di Lubnan dan Gaza.
Komander Pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Brigedier Jeneral Esmail Qa’ani berkata, ancaman itu akan memperluaskan tekanan terhadap kepentingan rejim Zionis dan AS.
“Jenayah yang dilakukan dengan sokongan terbuka AS akan mendorong Axis of Resistance (Muqawamah) untuk memperluaskan sokongan di kedua-dua medan pertempuran berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan media Iran.
Menurut beliau, antara langkah yang boleh diambil termasuk menjadikan keadaan pelayaran di Selat Bab al-Mandeb setanding dengan situasi di Selat Hormuz yang sering menjadi tumpuan ketegangan geopolitik di rantau Teluk.
Qa’ani turut memberi amaran bahawa Israel akan berdepan gelombang baharu penentangan daripada kumpulan bersenjata Palestin dan Hezbollah sekiranya serangan di Gaza dan Lubnan diteruskan.
Sementara itu, laporan agensi berita Iran, Islamic Republic News Agency (IRNA) menyebut, Tehran terus menegaskan bahawa sebarang perjanjian muktamad dengan AS berkaitan isu serantau perlu merangkumi penghentian menyeluruh operasi ketenteraan Israel di semua zon konflik, termasuk di Gaza dan Lubnan.
Menurut laporan itu, isu serangan berterusan Israel ke atas Lubnan kekal antara tuntutan utama Iran dalam sebarang rundingan berkaitan keselamatan dan kestabilan rantau Asia Barat.
Selat Bab al-Mandeb yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden merupakan antara laluan perdagangan maritim paling penting di dunia, dengan kira-kira 10 peratus perdagangan global melalui kawasan tersebut setiap tahun.
Sebelum ini, kumpulan Ansarullah di Yaman yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran pernah melancarkan serangan terhadap kapal yang dikaitkan dengan Israel serta aset ketenteraan AS di Laut Merah sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin.
Penganalisis berpandangan sebarang gangguan terhadap laluan strategik seperti Bab al-Mandeb berpotensi memberi kesan besar kepada perdagangan global, rantaian bekalan antarabangsa dan harga tenaga dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








