PRN Melaka: Penduduk Ayer Limau sambut baik kehadiran saya meski calon luar kawasan – Jaini Dimon
AYER LIMAU – Kehadiran calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Mejar (B) Jaini Dimon, mendapat sambutan positif penduduk setempat meskipun beliau bukan anak tempatan kawasan berkenaan.
Jaini berkata, pendekatan turun padang dan mendekati masyarakat secara langsung sejak memulakan kempen membolehkannya membina hubungan baik dengan penduduk.
Menurutnya, beliau bersyukur kerana masyarakat setempat menerima kehadirannya dengan hati terbuka walaupun berasal dari luar kawasan Ayer Limau.
“Alhamdulillah, masyarakat menyambut baik kehadiran saya dan menerima saya dengan baik walaupun saya ini orang luar kawasan Ayer Limau.
“Saya memulakan kempen dengan merapatkan diri serta mengunjungi penduduk di sini. Mereka menghargai usaha tersebut dan meraikan kehadiran saya dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini.
Menurutnya, pendekatan bersemuka dengan penduduk penting bagi membolehkan seseorang calon memahami keadaan sebenar masyarakat selain mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi mereka.
Jelasnya, tidak semua calon sebelum ini berkesempatan untuk hadir dan mendekati penduduk di seluruh kawasan berkenaan, sekali gus menjadikan usaha turun padang sebagai pendekatan yang dihargai masyarakat.
“Apabila saya mula mendekati dan mengunjungi penduduk, mereka memberikan sambutan dengan hati terbuka. Saya melihat mereka benar-benar menghargai usaha untuk hadir dan beramah mesra dengan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, penerimaan positif itu menjadi dorongan untuk terus mempergiatkan kempen serta mendekati lebih ramai penduduk sepanjang tempoh PRN Melaka ke-16.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














