13 maut, puluhan hilang dalam tragedi bot di Nigeria
MAIDUGURI – Seramai 13 penumpang disahkan maut manakala puluhan lagi masih hilang selepas sebuah bot kayu yang membawa kira-kira 100 orang karam di Sungai Niger, ketika dalam perjalanan ke pasar pada Sabtu lalu.
Agensi Pengurusan Kecemasan Negeri Niger (NSEMA) memaklumkan 26 mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak berjaya diselamatkan dalam insiden malang yang berlaku di utara Nigeria.
Menurut pegawai NSEMA, Yusuf Lemu, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan walaupun berdepan beberapa cabaran termasuk ketidaktentuan bilangan sebenar penumpang bot terbabit.
Sementara itu, pegawai tempatan, Isiyaku Akilu berkata, pemandu bot yang turut diselamatkan tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar penumpang ketika kejadian.
“Punca kejadian masih dalam siasatan namun berdasarkan pemerhatian awal insiden dipercayai berpunca daripada muatan berlebihan,” katanya memetik laporan media negara itu.
Perkara itu turut disahkan oleh wakil kesatuan pemandu bot, Adamu Ahmad yang menyifatkan bot kayu berkenaan sebagai bersaiz besar namun telah membawa beban melebihi kapasiti.
Katanya, usaha mengesan dan mengangkat mayat mangsa yang masih hilang sedang dijalankan oleh pasukan penyelamat dengan bantuan penduduk tempatan.
Difahamkan, insiden itu berlaku kira-kira sembilan bulan selepas kejadian tragis meragut sekurang-kurangnya 60 nyawa apabila sebuah bot yang membawa wanita dan kanak-kanak pulang dari perayaan keagamaan karam di kawasan yang sama.
Tragedi kapal karam bukan sesuatu yang luar biasa di Nigeria khususnya di negeri Niger yang menempatkan tiga empangan hidroelektrik utama dan menyaksikan laluan air digunakan secara meluas oleh penduduk.
Menurut Akilu lagi, operasi mencari dan menyelamat semalam turut dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada penjaga tradisi sungai menjalankan upacara ritual bagi memastikan misi berjalan lancar dan bebas gangguan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








