KPM pastikan anak sulung mangsa tragedi Sungai Korok terima bantuan terbaik
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan anak sulung kepada pasangan yang maut bersama empat lagi anak mereka dalam tragedi lemas di Sungai Korok, Jitra menerima bantuan terbaik yang diperlukan.
Menterinya, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook semalam menyatakan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas tragedi yang disifatkan sebagai amat menyayat hati.
“Saya pastikan anakanda Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, diberi bantuan terbaik. Jabatan Pendidikan Negeri Kedah akan membantu menguruskan semua keperluan anakanda,” katanya.
Fadhlina memaklumkan, pihaknya telah menghantar Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat, yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan Negeri untuk menziarahi Putri Qisya dan keluarganya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar semalam.
Beliau turut mendoakan agar Putri Qisya dan keluarganya diberikan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi ujian itu.
Dalam kejadian semalam, enam sekeluarga termasuk empat kanak-kanak ditemukan maut di dalam sebuah kereta yang tenggelam di Sungai Korok.
Mereka dikenalpasti sebagai Mohamad Azim Izat Ishak, 32, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7 dan bayi lelaki, Tuah Haydar yang berusia enam bulan.
Kesemua mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke Jerlun selepas mengunjungi rumah ahli keluarga di Taman Seri Aman, Jitra.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







