53 migran termasuk dua bayi dikhuatiri maut, bot getah terbalik di Laut Mediterranean
KUALA LUMPUR – Seramai 53 migran, termasuk dua bayi, dikhuatiri maut atau hilang selepas sebuah bot getah sarat penumpang terbalik di perairan sejuk Laut Mediterranean tengah, utara bandar pesisir Zuwara, Libya, awal pagi Jumaat lalu.
Menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), bot berkenaan membawa migran daripada beberapa negara Afrika dan dipercayai berlepas dari Al-Zawiya, kira-kira 27 batu di barat Tripoli, sekitar jam 11 malam Khamis.
Pihak berkuasa Libya melancarkan operasi menyelamat dan hanya dua wanita warga Nigeria berjaya diselamatkan serta diberikan rawatan perubatan kecemasan oleh pasukan IOM.
“Enam jam selepas belayar, bot itu mula dimasuki air sebelum terbalik di tengah laut. Seorang daripada mereka memaklumkan suaminya lemas, manakala seorang lagi mengesahkan kedua-dua bayinya terkorban.
“Setakat ini, tiada mangsa lain ditemui dan IOM memberi amaran jumlah sebenar korban mungkin tidak pernah diketahui ,” menurut laporan itu.
Tragedi itu menambah lagi senarai panjang kemalangan maut di laluan Mediterranean yang kekal sebagai antara laluan migrasi paling berbahaya di dunia.
IOM melaporkan sekurang-kurangnya 375 migran maut atau hilang di laluan Mediterranean tengah sepanjang Januari sahaja, manakala angka keseluruhan tahun ini dianggarkan mencecah sekurang-kurangnya 484 orang. Pada tahun lalu, lebih 1,300 migran dilaporkan mati atau hilang di kawasan sama.
IOM menegaskan sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia terus mengeksploitasi golongan terdesak dengan menghimpit mereka ke dalam bot yang tidak selamat demi mengaut keuntungan maksimum. Kejadian terbaharu ini berlaku hanya beberapa hari selepas sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh apabila sebuah bot laju migran bertembung dengan kapal pengawal pantai Greece berhampiran Pulau Chios, mengakibatkan 14 mayat ditemui dan seorang lagi mangsa meninggal dunia di hospital.
Dalam pada itu, IOM sekali lagi menegaskan Libya bukan pelabuhan selamat bagi migran. Agensi PBB itu mendedahkan siasatan mendapati ramai migran ditahan, diseksa dan dijadikan tebusan oleh rangkaian pemerdagangan manusia. Baru-baru ini, pihak berkuasa membebaskan lebih 200 migran daripada sebuah pusat tahanan bawah tanah di Kufra, yang dipercayai digunakan untuk menahan mangsa dalam keadaan tidak berperikemanusiaan.
Sehubungan itu, IOM menggesa kerjasama antarabangsa dipertingkatkan bagi membanteras sindiket penyeludupan serta menyediakan laluan migrasi yang lebih selamat dan sah, bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban di laut terbuka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















