JENAYAH & MAHKAMAH

Op Taring: Sindiket seludup PATI tumpas di Wakaf Bharu, 12 individu ditahan

WAKAF BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Op Taring Wawasan Kelantan dalam serbuan awal pagi di Bandar Baru Pasir Pekan, di sini kelmarin.

Seramai 12 individu ditahan membabitkan seorang lelaki dan dua wanita tempatan, tujuh lelaki Bangladesh serta dua lelaki Myanmar.

Operasi pada pukul 5 pagi oleh Strike Force Kompeni C Batalion 9 PGA Kuala Terengganu itu dilancarkan hasil risikan berkaitan aktiviti membawa masuk migran melalui sempadan negara.

“Semasa rondaan, pihak polis menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tujuh lelaki warga Bangladesh yang memiliki pasport tetapi tidak mempunyai pas lawatan sah, manakala dua lelaki warga Myanmar tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan,” kata PGA dalam kenyataan.

Tambahnya, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dinaiki dua wanita tempatan turut ditahan di lokasi sama bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal termasuk semakan terhadap telefon bimbit menemukan perbualan berkaitan aktiviti penyeludupan migran antara suspek utama dan salah seorang individu ditahan.

“Turut dirampas sebuah kereta Proton Iswara dan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM17,000,” kata kenyataan itu lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas seorang lelaki tempatan didapati positif methamphetamine.

Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button