BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket penyeludupan migran tumpas di Johor

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar sindiket penyeludupan migran dalam serbuan khas yang dilancarkan semalam di beberapa lokasi sekitar Kukup, Skudai dan Batu Pahat, Johor.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan operasi bersepadu itu digerakkan hasil kerjasama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta JIM Negeri Johor.

“Serbuan ini merupakan hasil risikan selama tiga minggu. Pasukan operasi berjaya menahan 11 individu yang dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan penyeludupan migran.

“Antara individu yang diberkas ialah seorang lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai ‘Dedi’, dipercayai dalang utama sindiket, serta dua lagi lelaki senegara yang dipercayai bertindak sebagai tekong.

“Turut ditahan dua wanita tempatan yang disyaki berperanan sebagai transporter dan penjaga premis penampungan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, lima lelaki dan seorang wanita warga Indonesia turut ditahan.

“Kesemua suspek berumur antara 25 hingga 47 tahun. Semakan awal mendapati seorang daripada mereka tinggal lebih masa manakala selebihnya tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pas yang sah,”tambahnya.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa merampas lapan telefon bimbit, dua pasport Indonesia, wang tunai RM1,173, sebuah Naza Citra dan sebuah bot yang dipercayai digunakan untuk membawa PATI.

“Sindiket ini mengenakan bayaran sebanyak RM2,100 kepada setiap migran yang dibawa masuk atau keluar dari Malaysia melalui laluan laut.

“Migran-migran akan ditempatkan terlebih dahulu di sebuah hotel yang dijadikan tempat transit sebelum dipindahkan keluar atau masuk negara ini secara haram,” jelasnya.

Lima individu termasuk tiga lelaki Indonesia dan dua wanita tempatan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007, manakala enam lagi warga Indonesia disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63. Kesemua dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.

Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan akan melaksanakan tindakan keras terhadap aktiviti penyeludupan manusia yang mengancam keselamatan negara.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen. Langkah penguatkuasaan akan diteruskan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ATIPSOM 2007,” tegas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button