Lelaki ditahan bawa 8.5 tan beras seludup dari Thailand
TUMPAT – Seorang lelaki yang dipercayai menjadi penghantar beras seludup dari Thailand ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama 8.5 tan beras dalam satu serbuan di Kampung Kubang Batang, di sini semalam.
Suspek berusia 31 tahun itu dipercayai menerima upah RM100 bagi setiap penghantaran, namun kegiatannya terbongkar selepas lori dipandunya ditahan dalam Op Taring Wawasan pada pukul 4.30 petang.
Komander Briged Tenggara, Senior Asistan Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan hasil pemantauan anggota Risik Batalion 9 PGA Kuala Terengganu bersama Kawalselia Padi dan Beras Negara Kelantan.
Menurutnya, ketika rondaan di Jalan Kampung Kubang Batang, anggota mengesan sebuah lori putih dalam keadaan mencurigakan berhampiran lampu isyarat hadapan Masjid Air-Rahman sebelum menahan kenderaan itu untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan di bahagian muatan belakang lori menemui guni-guni putih berisi 8,500 kilogram beras yang disyaki diseludup dari Thailand.
“Pemandu lori berusia 31 tahun terus ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rampasan turut melibatkan sebuah lori jenis Isuzu, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM114,000.
Siasatan awal mendapati, suspek mengaku menerima upah RM100 bagi setiap penghantaran mengikut arahan pihak tertentu.
“Lori yang digunakan dipercayai diambil di kawasan Bunohan sebelum beras berkenaan dihantar ke lokasi yang ditetapkan sekitar daerah Besut, Terengganu,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994 dan semua rampasan telah diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Negara Kelantan untuk tindakan lanjut.
Tegas Ahmad Radzi, pihaknya akan terus mempergiat risikan serta operasi bersepadu bersama agensi berkaitan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di sempadan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








