BERITA SEMASA

Selat Melaka nadi tenaga dunia: Malaysia tidak kompromi campur tangan kuasa besar

KUANTAN – Kerajaan Malaysia menegaskan pendirian untuk tidak membenarkan mana-mana kuasa besar dunia menentukan atau memaksakan dasar mereka terhadap kedaulatan perairan negara, khususnya di Selat Melaka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa Malaysia kekal dengan prinsip centrality iaitu sebagai zon aman, bebas, dan berkecuali.

“Kita tidak membenarkan mana-mana kuasa besar menentukan atau memaksakan dasar mereka ke atas Malaysia.

“Kita kekal dengan pendirian bahawa mengawasi keselamatan Selat Melaka yang menjadi laluan penting kapal dunia adalah kewajipan kita, dan kita tidak bersedia membenarkan mana-mana pihak membuat keputusan unilateral terhadap kawasan kita,” jelas beliau semasa sidang media Program Jelajah Wira MADANI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kepentingan geopolitik, beliau mendedahkan bahawa Selat Melaka memikul beban ekonomi yang jauh lebih besar berbanding Selat Hormuz di Asia Barat.

Katanya, walaupun Selat Hormuz sering menjadi tumpuan kerana mengendalikan sekitar 20 peratus bekalan tenaga dunia, Selat Melaka sebenarnya memikul beban ekonomi yang jauh lebih besar sebagai laluan utama bagi baki 80 peratus bekalan tenaga global.

Justeru katanya, sebarang gangguan atau percubaan pihak luar untuk menguasai laluan ini bukan sahaja akan mencetuskan ketegangan geopolitik, malah mampu melumpuhkan rantaian bekalan dan harga tenaga di peringkat global.

Meskipun tegas dalam isu kedaulatan, Malaysia tetap mengutamakan pendekatan diplomatik yang matang bagi mengekalkan status quo keamanan yang dinikmati ketika ini.

“Buat masa sekarang, pendekatan kita adalah untuk ‘engage’ dengan semua pihak bagi mengekalkan keamanan. Kita sentiasa peka dengan kesan ketegangan geopolitik terhadap ekonomi, terutamanya apabila melibatkan laluan utama dunia ini,” tambah beliau lagi.

Langkah ini selaras dengan pelan strategik jangka panjang Maritim Malaysia yang kini sedang diperkukuhkan melalui perolehan aset-aset canggih seperti mothership, helikopter AW189 dan sistem radar baharu bagi memastikan kedaulatan maritim negara sentiasa terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button