PN desak kerajaan nyahklasifikasi perjanjian persempadan maritim Malaysia-Indonesia
KOTA KINABALU – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mendesak kerajaan supaya menyahklasifikasikan dokumen perjanjian persempadanan maritim yang ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Indonesia pada 8 Jun lalu.
Ahli Parlimen Beluran itu dalam kenyataan hari ini berkata, demi kepentingan awam dan untuk menamatkan spekulasi yang berlegar ketika ini, langkah itu perlu dilakukan untuk menjawab sejauh mana Triti Laut Sulawesi tidak melibatkan blok Ambalat.
“Penyahklasifikasian kandungan perjanjian itu juga bakal menoktahkan spekulasi serta kebimbangan rakyat berhubung sempadan separa laut wilayah antara dua negara di Laut Sulawesi seperti yang dikatakan oleh kerajaan.
“Blok Ambalat iaitu kawasan seluas 15,000 kilometer persegi di tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah ini mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia dan telah dipertahankan oleh Malaysia sekian lama maka ia tidak boleh digadai sama sekali,” katanya.
Justeru Ronald berkata, sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia tidak sepatutnya berkompromi terhadap tuntutan Indonesia ke atas kawasan tertentu
“Kita tidak boleh bertolak ansur atau berkompromi dalam soal kedaulatan negara, khususnya perairan Sabah yang juga membabitkan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta pelantar benua antara Malaysia dengan Indonesia.
“Apatah lagi pakar maritim yang terbabit dalam usaha melindungi hak Wilayah Malaysia, memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baharu untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Indonesia.
“Lebih merisaukan apabila beberapa media baru-baru ini melaporkan Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama dalam penerokaan sumber minyak dan gas di blok Ambalat yang telah merujuk kenyataan Ketua Pengarah Minyak dan Gas Indonesia sendiri, iaitu Tutuka Ariadji,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan segera untuk nyahklasifikasikan kandungan perjanjian itu akan memberi pededahan umum berhubung isu Ambalat seterusnya akan merungkai keraguan serta kerisauan rakyat khususnya di Sabah.
Isu Ambalat dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal Alian, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, baru-baru ini, dengan antara lain mendakwa Malaysia menyerahkan Blok Ambalat kepada Indonesia.
Bagaimanapun, perkara itu disangkal Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin yang menyifatkan dakwaan Assaffal itu sebagai fitnah serta mengelirukan rakyat, selain tidak bertanggungjawab dan boleh mengancam kedaulatan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







