PAT sangkal tuduhan bekas pegawai kanan tentera Thailand
KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa Malaysia mengatur dan mempengaruhi proses keamanan dan perjanjian damai Thailand-Kemboja dari belakang tabir hingga digambarkan sebagai ‘musuh dari dalam’ adalah tidak benar.
Menyangkal dakwaan itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, dakwaan itu mengecewakan kerana datang daripada individu yang sepatutnya memahami asas kerjasama pertahanan dan hubungan ketenteraan serantau.
Malah beliau berkata, kecaman yang dibuat tidak mencerminkan realiti proses diplomasi dan keputusan berasaskan konsensus.
“Dakwaan seperti ini bukan sahaja tidak berasas dan tidak adil, malah amat mengecewakan, terutama apabila ia datang daripada bekas pegawai kanan tentera. Tohmahan ini menggambarkan kurangnya kefahaman terhadap prinsip pusat ASEAN dan mengabaikan kerangka kerjasama yang mendasari proses damai ini.
“Ia juga menjejaskan prinsip profesionalisme dan saling menghormati yang menjadi asas hubungan ketenteraan di rantau ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas video tular memaparkan kenyataan yang kononnya dibuat bekas Mejar Jeneral Thailand, Rangsi Kitiyansap mendakwa Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak sebagai ‘hidden hand’ (tangan ghaib) menentukan hala tuju dan pelaksanaan rundingan damai.
Tambah beliau, Malaysia memudah cara rundingan awal di Putrajaya selepas kedua-dua negara berjiran itu menyatakan kesediaan meredakan ketegangan, yang membawa kepada persetujuan gencatan senjata berkuat kuasa pada 28 Julai lalu.
“Delegasi pertahanan Malaysia kemudian berada di Bangkok dan Phnom Penh bagi menyelaraskan langkah pelaksanaan persetujuan itu bersama kepimpinan ketenteraan kedua-dua negara.
“Malaysia seterusnya menyelaras penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) dan Pasukan Pemerhati Interim Dipertingkat (IOT) untuk melaksanakan pemantauan di kawasan sempadan,” katanya menambah proses damai itu dilaksanakan secara terbuka dan dipersetujui bersama negara yang menyertai pelaksanaannya.
Dokumen rasmi yang menjadi asas proses itu, jelas Mohd Nizam, adalah telus dan disepakati semua kerajaan yang menyertai usaha berkenaani, dengan komitmen yang memfokuskan keamanan, keselamatan, kerjasama kemanusiaan dan kestabilan serantau.
“Malaysia tidak mencari pujian atau pengiktirafan. Kepentingan kami hanyalah memulihkan kestabilan, melindungi nyawa dan memelihara solidariti serantau. Anggota tentera kedua-dua pihak berhak untuk menurunkan senjata, manakala keluarga yang hidup dalam ketakutan berhak kembali kepada kehidupan yang aman,” katanya.
Jelasnya, keamanan memerlukan kejelasan keutamaan dan keupayaan mengetepikan ego politik serta kesabaran, keberanian moral dan keupayaan untuk melihat melangkaui kepentingan peribadi.
“Dari awal, tiga prinsip memandu setiap langkah kami, iaitu keamanan itu mahal, nyawa itu tidak ternilai dan masa itu kritikal. Menuduh pemimpin lain sebagai pengkhianat atau perisik tanpa bukti tidak menjatuhkan orang yang dituduh, tetapi menjatuhkan maruah penuduh sendiri,” katanya.
Beliau berkata perkembangan awal pelaksanaan persetujuan di lapangan menunjukkan kemajuan nyata.
“Saya yakin Pasukan Pemerhati ASEAN bersama Kerajaan Thailand dan Kemboja akan menunaikan komitmen yang disepakati di Kuala Lumpur. Perkembangan sudah kelihatan di lapangan dengan penarikan senjata, operasi nyah periuk api dan komuniti sempadan yang mula kembali kepada kehidupan biasa,” katanya.
Menegaskan Malaysia kekal berpegang kepada penyelesaian dipandu ASEAN, penghormatan terhadap kedaulatan negara dan pelaksanaan telus semua persetujuan damai, Mohd Nizam memberi jaminan: “Angkatan Tentera Malaysia akan terus menjadi rakan yang dipercayai dalam menjayakan nilai bersama ini”.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








