BERITA SEMASALUAR NEGARA

Kemboja sedia berunding terus dengan Thailand hentikan pertempuran

PHNOM PENH – Kemboja menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan terus dengan Thailand bagi menamatkan pertempuran sengit di sepanjang sempadan kedua-dua negara, lapor portal The Nation.

Bagaimanapun, penasihat kanan kepada Perdana Menteri Hun Manet, Suos Yara, menegaskan bahawa Bangkok perlu menunjukkan ‘sikap baik’ sebelum dialog itu boleh dimulakan.

Menurutnya, Kemboja terbuka untuk mengadakan rundingan dua hala dengan segera bagi meredakan konflik sempadan yang semakin memuncak.

“Jika kedua-dua pihak bersedia duduk semeja satu jam dari sekarang dan mula berkomunikasi, itu sudah menjadi satu perkembangan yang sangat baik,” katanya dalam satu wawancara.

Namun, beliau menegaskan bahawa Phnom Penh tidak akan menjadi pihak pertama memulakan proses tersebut.

“Kami perlukan sikap baik yang dipersetujui bersama daripada kedua-dua belah pihak. Kami tidak akan menyeru rundingan secara sebelah pihak,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika Thailand dan Kemboja saling menuduh melanggar gencatan senjata, sekali gus mencetuskan insiden tembak-menembak terbaharu di sepanjang sempadan darat sepanjang 817 kilometer.

Meriam dan senjata berat dilapor digunakan untuk hari kedua berturut-turut semalam selepas gencatan senjata yang dicapai pada Julai lalu runtuh.

Dalam tempoh dua hari pertempuran paling sengit sejak pusingan konflik sebelumnya, sekurang-kurangnya 13 nyawa terkorban, manakala ratusan ribu penduduk di kedua-dua belah sempadan terpaksa melarikan diri.

Suos Yara menyifatkan konfrontasi itu sebagai situasi “kalah-kalah”, sambil memberi amaran bahawa tiada pihak akan muncul sebagai pemenang.

“Thailand dan Kemboja akan sentiasa menjadi jiran. Lebih baik kita mencapai kesepakatan, kerana kita akan hidup bersebelahan selama-lamanya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button