Jenazah 4 sekeluarga korban nahas 5 kenderaan dibawa pulang ke Terengganu
KLUANG – Jenazah empat sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 27, Jalan Renggam-Kluang tengah hari semalam, telah dituntut oleh waris mereka awal pagi tadi untuk dikebumikan di Terengganu.
Proses tuntutan jenazah di Jabatan Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini selesai pada pukul 4 pagi selepas urusan bedah siasat dijalankan.
Mangsa yang terkorban ialah Semek Mat Soh, 73; Aiman Mohd Rashid, 36; isterinya, Nor Azlina Abd Latip, 33; dan anak saudara mereka, Nur Airish Syifa Sidek, 10.
Kesemua jenazah dibawa pulang menggunakan empat van berasingan dan dijangka dikebumikan di kampung halaman mereka di Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, selepas solat Zohor hari ini.
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi pekarangan jabatan forensik berkenaan sebaik sahaja ahli keluarga mangsa tiba dari Terengganu sekitar pukul 1 pagi bagi proses pengecaman dan penghormatan terakhir.
Dalam kemalangan pada pukul 1.15 tengah hari semalam, kesemua mangsa yang menaiki Perodua Alza dalam perjalanan ke Kota Tinggi disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Kesemua mereka maut selepas kenderaan tersebut dirempuh sebuah kereta mewah yang dilaporkan dipandu secara laju dan melulu.
Nahas membabitkan lima kenderaan keseluruhan iaitu Perodua Alza, Proton Wira, Mercedes Benz, BMW dan Toyota Vios.
Turut cedera dalam kemalangan tersebut ialah dua lagi penumpang Perodua Alza, iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.
Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan di kepala kini sedang menerima rawatan di hospital sama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















