BERITA SEMASA

Wanita putus kaki kiri disahkan meninggal dunia di Hospital Dungun

DUNGUN – Seorang wanita yang parah termasuk putus kaki kiri dalam kemalangan di Kilometer 341.5 Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka semalam, disahkan meninggal dunia.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Jumaidy Bah Chong Weh dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima laporan bahawa mangsa, Maziah Che Hassan, 57, menghembuskan nafas terakhir pukul 7.15 malam semalam ketika sedang menerima rawatan di Hospital Dungun.

Terdahulu, mangsa yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 bersama empat individu lain, terbabit dalam kemalangan pada pukul 5.15 petang.

Ketika itu mereka dalam perjalanan menghala Kuantan, Pahang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Kemalangan dipercayai berpunca apabila pemandu kenderaan tersebut dikatakan terlelap semasa memandu menyebabkan ia hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh.

“Akibat pelanggaran, kenderaan berpusing beberapa kali dan tersangkut pada penghadang jalan,” katanya.

Pemandu serta tiga lagi penumpang yang turut mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Dungun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button